Jepun rancang benarkan warga asing generasi keempat keturunan Jepun peroleh pemastautin tetap
Bernama
Jun 7, 2023 23:24 MYT
Jun 7, 2023 23:24 MYT
ISTANBUL: Jepun sedang menimbang untuk menyemak semula peraturan imigresennya bagi membenarkan warga asing generasi keempat keturunan Jepun memperoleh taraf pemastautin tetap, lapor Agensi Anadolu.
Pada masa ini, individu generasi keempat berusia 18 hingga 30 tahun di luar negara layak untuk bekerja di Jepun menggunakan visa tertentu, dengan tempoh tinggal maksimum lima tahun tanpa peruntukan penyatuan semula dengan keluarga mereka, lapor Kyodo News.
Sekiranya semakan itu diterima pakai, individu generasi keempat yang tinggal di Jepun selama lima tahun menaik taraf status mereka kepada pemastautin tetap dengan syarat memiliki kemahiran berbahasa Jepun pada tahap perniagaan.
Had umur juga akan dilonggarkan dengan membenarkan individu generasi keempat berumur antara 18 hingga 35 untuk memasuki Jepun menerusi program itu buat kali pertama.
Kerajaan dijangka menarik kira-kira 4,000 orang setiap tahun terutama dari negara seperti Brazil dan Peru, negara didiami sejumlah besar pendatang Jepun pada abad ke-19 dan ke-20.
Data menunjukkan hanya 128 individu telah menyertai program itu sehingga akhir tahun lepas.
Penduduk Jepun yang sudah pun semakin berkurangan pada 2070 dijangka terus merosot kepada 87 juta, menyusut 30 peratus daripada 2020.
Penduduk negara itu kini seramai 124.9 juta dengan angka itu dijangkakan merosot di bawah had 100 juta pada 2056.
Umur purata penduduk yang diunjurkan pada 47.6 pada 2020 akan meningkat kepada 54.0 pada 2070.
-- BERNAMA