Jepun lulus draf undang-undang hadapi COVID-19
Astro Awani
Mac 10, 2020 12:48 MYT
Mac 10, 2020 12:48 MYT
Kerajaan Jepun meluluskan draf rang undang-undang langkah darurat yang membolehkan pihak berkuasa mengarahkan penduduk berkurung di dalam rumah serta mengambil alih bangunan untuk dijadikan hospital sementara dalam menghadapi COVID-19.
Jika diluluskan di Parlimen, draf yang diluluskan pada Selasa itu akan memberi kuasa kepada Perdana Menteri, Shinzo Abe, untuk mengisytiharkan darurat dan mengambil langkah drastik bagi mengawal keadaan berikutan penularan virus berkenaan.
"Bagaimanapun, pada masa ini, kita tidak berada dalam keadaan yang memerlukan pengisytiharan darurat,” kata jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga, dilaporkan Channel News Asia (CNA).
COVID-19 sudah menjangkiti lebih daripada 500 orang di seluruh Jepun, malah dikaitkan dengan sembilan kematian sehingga kini.
Tidak seperti jirannya, Korea Selatan, Jepun didakwa tidak melakukan ujian meluas membabitkan COVID-19, menyebabkan negara itu dikritik banyak pihak.
Sementara itu, di bawah undang-undang baharu itu, apabila Perdana Menteri mengisytiharkan darurat di mana-mana kawasan, kerajaan tempatan boleh mengarahkan penduduk berkurung, menutup sekolah dan mengehadkan penggunaan kemudahan tertentu.
Ia juga memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tanah serta bangunan untuk dijadikan hospital sementara.
Sementara itu, Abe dilaporkan berkata, walaupun jangkitan COVID-19 belum dianggap meluas di Jepun, kerajaan tetap membuat persediaan awal bagi menghadapi apa saja kemungkinan.
#COVID-19
#draf rang undang-undang
#hospital sementara
#Korea Selatan
#Perdana Menteri
#Shinzo Abe
#Yoshihide Suga