Jepun: Lelaki ditahan kerana cipta perisian hasad guna AI generatif

Bernama
Mei 28, 2024 13:00 MYT
Polis Tokyo telah menahan seorang lelaki berusia 25 tahun kerana didakwa mencipta perisian hasad menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) generatif yang tersedia dalam talian secara percuma. - Gambar hiasan
TOKYO: Polis Tokyo telah menahan seorang lelaki berusia 25 tahun kerana didakwa mencipta perisian hasad menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) generatif yang tersedia dalam talian secara percuma, lapor Jiji Press.
Ryuki Hayashi dari Kawasaki, wilayah Kanagawa, selatan Tokyo ditahan oleh Jabatan Polis Metropolitan kerana disyaki mencipta rekod elektronik tanpa kebenaran.
Menurut polis, hanya terdapat beberapa kes di mana tindakan penguatkuasaan undang-undang diambil ke atas penciptaan perisian hasad melalui penggunaan teknologi AI generatif.
Hayashi yang mengaku bersalah atas tuduhan itu dilaporkan berkata bahawa beliau ingin "mendapatkan wang dengan mudah" dan Hayashi percaya beliau "boleh melakukan apa sahaja" jika menggunakan AI.
Hayashi disyaki mencipta perisian hasad itu pada Mac tahun lepas dengan menggabungkan reka bentuk program perisian hasad haram yang diperoleh melalui penggunaan alat AI generatif interaktif.
-- BERNAMA
#Polis Tokyo #AI Generatif #cipta perisian hasad #Ryuki Hayashi