Jepun lahirkan komitmen bersama ASEAN perangi jenayah rentas sempadan
Hafiz Marzukhi
Oktober 1, 2015 15:04 MYT
Oktober 1, 2015 15:04 MYT
Jepun menyatakan komitmennya untuk bersama-sama ASEAN dalam memerangi jenayah rentas sempadan, terutamanya jenayah siber.
Menteri Hal Ehwal Negaranya, Eriko Yamatani berkata, Jepun menyambut baik diberi peluang untuk bertukar pandangan dan idea dalam menangani jenayah rentas sempadan di rantau ini.
"ASEAN adalah kawasan yang penting bagi kami dan kami bersedia untuk menawarkan pandangan dan kepakaran demi menangani jenayah rentas sempadan di rantau ini," katanya selepas sesi konsultasi antara wakil jepun bersama negara ahli ASEAN sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai jenayah rentas sempadan (AMMTC) ke-10, di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed menyatakan Jepun bersedia bertukar kepakaran dan melatih anggota-anggota keselamatan Malaysia.
"Walaupun mereka lebih berminat dalam isu jenayah siber, mereka sudi membantu negara-negara ASEAN dalam menangani jenayah rentas sempadan dari aspek lain," kata beliau.
AMMTC masuk hari keempat dan juga yang terakhir pada hari ini. Mesyuarat ini bermula pada Isnin lepas.
#AMMTC
#ASEAN
#Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan
#Timbalan Perdana Menteri