Jepun kini rakan kongsi dengan nilai sejagat, demi kepentingan bersama - Presiden Korea Selatan
Bernama
Ogos 15, 2023 05:00 MYT
Ogos 15, 2023 05:00 MYT
SEOUL: Korea Selatan dan Jepun kini menjadi rakan kongsi yang berkongsi nilai sejagat yang menjadi kepentingan bersama, serta digesa untuk mengukuhkan kerjasama keselamatan tiga hala dengan Jepun dan Amerika Syarikat (AS) bagi menangani ancaman daripada Korea Utara, kata Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Selasa.
"Sebagai rakan kongsi yang bekerjasama dalam pelbagai isu keselamatan dan ekonomi, Korea Selatan dan Jepun akan dapat menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran sambil bekerjasama demi masa depan."
Yoon membuat kenyataan itu dalam ucapan Hari Pembebasan memperingati berakhirnya pemerintahan kolonial Jepun pada 1910-45 di Semenanjung Korea, lapor agensi berita Yonhap.
Ucapan itu merupakan satu lagi bukti komitmen Yoon untuk memperbaiki hubungan dengan Tokyo yang terumbang-ambing di bawah pentadbiran terdahulu akibat buruh paksa semasa perang dan isu-isu perit lain yang berpunca ketikapemerintahan penjajah.
Yoon juga menggesa kerjasama keselamatan tiga hala yang lebih kukuh dengan Tokyo dan Washington.
"Kepentingan kerjasama keselamatan tiga hala Korea Selatan-AS-Jepun semakin berkembang di Semenanjung Korea dan di rantau ini.
"Untuk menyekat ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara, Korea Selatan, AS dan Jepun perlu bekerjasama menerusi aset peninjau dan berkongsi data senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara pada masa nyata," katanya.
Hubungan Korea Selatan-Jepun bertambah baik sejak pentadbiran Yoon pada Mac memutuskan untuk memberi pampasan kepada buruh paksa zaman perang Jepun tanpa meminta sumbangan daripada ahli perniagaan Jepun yang terlibat.
Yoon dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida telah mengadakan beberapa sidang kemuncak, termasuk semasa lawatan dua hala ke negara masing-masing pada Mac dan Mei.
Pada Jumaat, kedua-dua pemimpin dijadual menyertai sidang kemuncak tiga hala dengan Presiden AS Joe Biden di Camp David, dekat Washington.
Yoon berkata sidang kemuncak itu akan "menggariskan pencapaian baharu dalam kerjasama tiga hala yang menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran di Semenanjung Korea dan di rantau Indo-Pasifik."
-- BERNAMA