Jepun keluar amaran strok haba pertama musim panas
Bernama
Julai 10, 2023 22:06 MYT
Julai 10, 2023 22:06 MYT
TOKYO: Amaran strok haba dikeluarkan untuk ibu negara Jepun, Tokyo serta wilayah Saitama, Chiba dan Ibaraki pada Isnin buat kali pertama musim ini ketika cuaca panas terik berlaku di wilayah Kanto dan Koshin.
Panas terik melanda kawasan itu pada Isnin, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA) dengan suhu mencecah 35 darjah di tengah Tokyo juga yang pertama musim panas ini, lapor Xinhua.
Suhu tinggi setakat 11.30 pagi adalah 36.4 darjah Celcius di bandar Otsuki, wilayah Yamanashi, 35.7 di bandar Ome City, barat Tokyo, 35.6 di bandar Kasama, wilayah Ibaraki dan 35.2 di tengah Tokyo.
Pegawai cuaca menambah kelembapan juga agak tinggi selain memberi amaran kepada orang ramai tentang risiko strok haba.
Suhu tinggi dan udara lembap yang mengalir masuk ke awan boleh menyebabkan hujan lebat setempat, kata JMA, meramalkan hujan setiap jam sehingga 60 milimeter di wilayah utara Kanto dan 30 di selatan Kanto.
-- BERNAMA