Jepun harap gencatan senjata Gaza akan bawa kestabilan berkekalan

Bernama
Januari 17, 2025 18:23 MYT
Iwaya berkata,Jepun menzahirkan harapan agar perjanjian gencatan senjata di Gaza akan membawa kepada kestabilan yang berkekalan di rantau itu. - Reuters
JEPUN menzahirkan harapan agar perjanjian gencatan senjata di Gaza akan membawa kepada kestabilan yang berkekalan di rantau itu.
Menteri Luar Jepun Takeshi Iwaya dalam mengalu-alukan perjanjian yang dicapai pada 15 Januari, menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah mengurangkan krisis kemanusiaan dan meredakan ketegangan, sejajar dengan seruan berterusan Jepun untuk keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.
"Jepun amat berharap perjanjian ini akan membawa kepada penstabilan jangka panjang situasi Israel-Palestin. Kami menggesa semua pihak melaksanakan perjanjian ini secara berterusan dan dengan penuh ikhlas bagi menamatkan penderitaan yang tidak tertanggung.
"Perjanjian itu menetapkan penghentian operasi ketenteraan, pembebasan tawanan, serta peningkatan aktiviti bantuan kemanusiaan, antara langkah-langkah lain," kata Iwaya dalam satu kenyataan.
Beliau memuji usaha Mesir, Qatar, dan Amerika Syarikat dalam mencapai perjanjian itu.
Iwaya turut menekankan komitmen Jepun untuk meneruskan penglibatan dengan usaha antarabangsa yang bertujuan memperbaiki keadaan kemanusiaan, menyokong pembinaan semula dan tadbir urus Gaza dan memperkukuh usaha diplomatik ke arah penyelesaian dua negara.
"Jepun terus menjalin hubungan rapat dengan negara dan organisasi antarabangsa yang berkaitan. Kami akan menggandakan usaha diplomatik bagi mencapai keamanan dan kestabilan berkekalan di rantau ini," tambahnya.
Perjanjian gencatan senjata itu, yang akan berkuat kuasa pada 19 Jan (Ahad) akan dilaksanakan dalam tiga fasa. Fasa awal selama 42 hari termasuk pembebasan 33 tawanan Israel sebagai pertukaran untuk sejumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.
-- BERNAMA
#gencatan senjata #Gaza #kestabilan #bantuan kemanusiaan #Jepun
;