Menteri Pertahanan Kihara Minoru mengarahkan penghantaran pesawat ke Jordan dan Greece untuk bersiap sedia bagi kemungkinan evakuasi warganegara Jepun yang berada di Lubnan kerana Israel terus melakukan serangan udara berskala besar ke atas negara jiran itu, lapor Agensi Anadolu.
Hampir setahun pertempuran rentas sempadan antara Israel dan Hizbullah yang dicetuskan oleh perang di Gaza telah mengakibatkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal di kedua-dua belah sempadan.
Israel memulakan serangan udara intensif ke atas Lubnan awal minggu ini, membunuh beratus-ratus orang, dan dikatakan sedang bersiap sedia untuk kemungkinan serangan darat. Negara itu telah menolak desakan untuk gencatan senjata sementara dan berikrar untuk terus berperang.
-- BERNAMA