Jepun gubal undang-undang pindaan untuk penyingkiran segera kandungan fitnah dalam talian
Bernama
Mei 10, 2024 20:21 MYT
Mei 10, 2024 20:21 MYT
TOKYO: Parlimen Jepun pada Jumaat menggubal satu undang-undang pindaan bertujuan bagi memudahkan penyingkiran segera kandungan fitnah di platform media sosial seperti Facebook dan X dengan lebih telus, menurut laporan agensi berita Kyodo.
Undang-undang liabiliti terhad penyedia yang telah disemak itu mengarahkan pengendali platform berkenaan untuk menyediakan titik hubungan bagi menerima permintaan penghapusan dan mendedahkan kriteria untuk menyingkirkan kiriman, selain langkah lain. Undang-undang ini akan berkuat kuasa dalam masa setahun.
Langkah memperkukuhkan peraturan terhadap fitnah dalam talian mendapat momentum selepas Hana Kimura, seorang ahli gusti profesional dan peserta rancangan realiti popular Netflix "Terrace House," membunuh diri pada tahun 2020 selepas menerima banyak mesej kebencian di media sosial.
Ramai mangsa fitnah telah berusaha untuk memastikan kiriman sedemikian segera dihapuskan sebelum ia menular tetapi menghadapi kesukaran untuk mencari titik hubungan dan berkata peraturan penghapusan adalah tidak jelas.
Undang-undang itu juga mengarahkan pengendali platform untuk memaklumkan pengguna dalam jangka masa tertentu sama ada kiriman akan dihapuskan atau tidak.
Undang-undang ini telah diluluskan oleh Dewan Kaunselor pada hari Jumaat selepas disahkan oleh Dewan Perwakilan pada 19 April.
-- BERNAMA