Jepun catat 70 juta kes COVID-19, 130,000 kematian sepanjang lima tahun

Astro Awani
Januari 15, 2025 08:00 MYT
Berdasarkan populasi Jepun sekitar 120 juta, sekurang-kurangnya 73 juta orang dipercayai telah dijangkiti, minimum sekali. - Foto fail/REUTERS
TOKYO: Genap lima tahun sejak kes pertama COVID-19 disahkan di Jepun, data kerajaan menunjukkan lebih 70 juta rakyat dijangkiti virus itu sehingga Mac tahun lalu.
Manakala jumlah kematian mencecah 130,000 sehingga Ogos.
Agensi berita Kyodo melaporkan, walaupun kadar kematian tahunan menurun selepas lonjakan varian Omicron pada 2022, angka kematian kekal jauh lebih tinggi berbanding influenza.
Profesor penyakit berjangkit di Universiti Tokyo, Yuki Furuse berkata pembangunan pesat vaksin yang berkesan, bersama langkah pencegahan lain membantu mengurangkan simptom wabak.
Katanya, COVID-19 akan terus memberi beban kepada masyarakat dengan usaha untuk mengurangkan beban itu, termasuk mewujudkan sistem kawalan jangkitan asas mesti diteruskan.
Ujian darah yang dijalankan oleh kementerian kesihatan pada Mac tahun lalu di 22 daripada 47 wilayah Jepun mendapati 60.7 peratus penduduk memiliki antibodi yang menunjukkan jangkitan COVID-19 sebelumnya.
Berdasarkan populasi Jepun sekitar 120 juta, sekurang-kurangnya 73 juta orang dipercayai telah dijangkiti, minimum sekali.
Statistik populasi menunjukkan jumlah kematian berkaitan COVID-19 dari 2020 hingga Ogos 2024 adalah sekitar 132,000, berbanding 3,600 kematian akibat influenza dalam tempoh yang sama.
Selepas COVID-19 dikategorikan setara dengan influenza bermusim pada Mei 2023, kerajaan berhenti mengeluarkan data harian bagi kes baharu, dengan laporan hanya diperoleh daripada 5,000 institusi perubatan terpilih.
Walaupun jumlah kematian COVID-19 di Jepun lebih rendah berbanding banyak negara maju lain, impak pandemik meluas, termasuk penurunan kadar kelahiran dan peningkatan kes bunuh diri.
Bagi memanfaatkan pengajaran daripada pandemik COVID-19, sebuah organisasi baharu berasaskan model Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat akan ditubuhkan pada April untuk menasihati kerajaan mengenai wabak penyakit berjangkit utama pada masa hadapan.
#COVID-19 #angka kematian #Omicron #Yuki Furuse
;