Jepun catat 5,400 kematian akibat tekanan dan keletihan selepas bencana sejak 1995

Bernama
Januari 18, 2025 05:45 MYT
Lebih 5,400 orang di Jepun meninggal dunia dalam tempoh 30 tahun lepas akibat tekanan dan keletihan serius disebabkan oleh proses pemindahan selepas gempa bumi dan bencana alam lain. - Gambar fail AP
TOKYO: Lebih 5,400 orang di Jepun meninggal dunia dalam tempoh 30 tahun lepas akibat tekanan dan keletihan serius disebabkan oleh proses pemindahan selepas gempa bumi dan bencana alam lain, lapor Kyodo News.
Sekurang-kurangnya 5,456 kematian berkaitan bencana telah dikenal pasti sejak kerajaan tempatan mula membuat penetapan itu selepas Gempa Bumi Besar Hanshin di barat Jepun pada 17 Jan 1995, termasuk kematian yang dikaitkan dengan gempa bumi di Semenanjung Noto tahun lepas.
Kerajaan Jepun menyeru agar keadaan di pusat pemindahan diperbaiki, memandangkan ramai mangsa bencana terpaksa berhimpit di gimnasium dan tidur di atas lantai.
Dalam kejadian gempa bumi besar di Wilayah Kumamoto pada 2016 dan di Semenanjung Noto, jumlah kematian berkaitan bencana melebihi jumlah kematian secara langsung seperti akibat runtuhan bangunan.
Jumlah sebenar kematian berkaitan bencana dipercayai lebih tinggi daripada yang didaftarkan, kerana keluarga perlu memohon untuk mendapat penetapan itu.
Selepas Gempa Bumi Besar Hanshin, 921 kematian telah diklasifikasikan sebagai berkaitan bencana, termasuk akibat wabak penyakit berjangkit seperti influenza di pusat pemindahan.
Susulan gempa bumi 2004 yang melanda Wilayah Niigata, beberapa individu yang tidur di dalam kereta dilaporkan meninggal dunia akibat trombosis vena, juga dikenali sebagai sindrom kelas ekonomi, apabila darah beku terbentuk akibat kurang bergerak untuk tempoh yang lama.
Selepas gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011 di timur laut Jepun serta kebocoran loji nuklear Fukushima Daiichi, 3,802 kematian berkaitan bencana dilaporkan ketika ramai mangsa terpaksa berpindah dari satu pusat pemindahan ke pusat lain.
Gempa bumi di Semenanjung Noto pada Hari Tahun Baharu 2024 mencatat 276 kematian berkaitan bencana sehingga 6 Jan, melebihi 228 kematian secara langsung. Kerajaan Wilayah Ishikawa telah menerima lebih 200 permohonan untuk penetapan itu.
Antara faktor yang menyumbang kepada kematian di kawasan yang didiami ramai warga emas termasuk tempoh lama di pusat pemindahan, gangguan bekalan elektrik dan air serta kemerosotan penjagaan oleh kemudahan kebajikan dan perubatan.
Kematian berkaitan bencana juga dilaporkan selepas taufan dan banjir, termasuk 12 individu yang meninggal dunia akibat strok haba dan sebab lain selepas taufan kuat melanda Wilayah Chiba dekat Tokyo pada 2019, yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik sehingga penyaman udara tidak dapat digunakan. - BERNAMA
#Jepun #bencana alam #gempa bumi #meninggal dunia
;