Jepun bingung kemunculan sfera misteri

Agensi
Februari 23, 2023 14:50 MYT
Sfera yang berukuran kira-kira 1.5 meter lebar itu muncul di pantai di Hamamatsu, sebuah bandar di Pulau Honshu.- - Reuters
TOKYO: Penduduk dan pihak berkuasa di Jepun bingung dengan kemunculan sfera logam besar misteri yang ditemui awal minggu ini.
Sfera yang berukuran kira-kira 1.5 meter lebar itu muncul di pantai di Hamamatsu, sebuah bandar di Pulau Honshu.
Seorang lelaki tempatan menemui sfera itu sebelum memaklumkan kepada polis.
Pihak berkuasa dan skuad bom telah dipanggil untuk menyiasat sfera itu.
Stesen televisyen Jepun, NHK, menyiarkan rakaman menunjukkan dua pegawai sedang meneliti sfera yang berwarna seakan-akan merah jambu, kelihatan berkarat dan diperbuat daripada logam.
Pihak berkuasa telah mengepung kawasan itu dan mengambil X-ray sfera itu. Ia disahkan bukan bahan letupan dan tidak menimbulkan ancaman.
Walau bagaimanapun, asal-usulnya masih tidak diketahui, dan ia akan dialihkan dari pantai dalam beberapa hari lagi.
Gambar objek telah dihantar kepada Pasukan Pertahanan dan Pengawal Pantai Jepun untuk pemeriksaan lanjut.
Jepun berkata mereka mengesyaki ia mungkin belon pengintip China seperti yang dikesan di wilayahnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada Rabu, Jepun menyatakan kebimbangannya mengenai belon pengawasan yang disyaki dikesan di ruang udaranya sekurang-kurangnya tiga kali sejak 2019. Beijing bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Penemuan sfera itu juga berlaku selepas Amerika Syarikat menembak jatuh apa yang dikatakan sebagai belon pengintip pada awal Februari.
Belon itu dilihat di Montana dan ditembak jatuh di luar pantai Carolina Selatan sebelum ditemui di Lautan Atlantik.
#Jepun #sfera #belon pengintip #pulau honshu
;