Jepun berdepan masalah akibat kadar kelahiran rendah
Astro Awani
Januari 24, 2023 08:15 MYT
Januari 24, 2023 08:15 MYT
TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menzahirkan kebimbangan negara itu berkemungkinan tidak lagi boleh berfungsi sebagai sebuah masyarakat.
Keadaan tersebut didorong oleh kekurangan kadar kelahiran yang serius di negara matahari terbit itu.
Menurut Kishida, kes itu boleh berlaku dengan cepat atau mungkin juga tidak akan berlaku.
Jepun, negara yang dihuni 125 juta penduduk, merekodkan kurang daripada 800,000 kelahiran tahun lepas.
Pada tahun 1970-an, jumlahnya melebihi 2 juta kelahiran.
"Saya meletakkan dasar mengenai kanak-kanak dan kelahiran sebagai sangat penting terutamanya apabila kita bercakap mengenai sosio-ekonomi dan kemampanan.
"Disebabkan kadar kelahiran di negara ini turun mendadak, jumlah bayi yang lahir di Jepun tahun lalu hanya di bawah 800,000, negara ini boleh dikatakan di ambang kemusnahan sebagai satu masyarakat, tetapi masih boleh dikekalkan.
"Kita tidak boleh berlengah lagi untuk menyokong dasar kanak-kanak dan kelahiran ini. Kita perlu bangunkan masyarakat yang utamakan kanak-kanak-kanak dan mengubah kadar kelahiran," katanya.
Perdana Menteri Jepun itu berkata, menumpukan polisi mengenai kanak-kanak dan perancangan kelahiran perlu dilakukan dengan sebaik mungkin serta tidak boleh ditangguh lagi untuk tangani perkara itu.
Jepun kini antara negara yang berdepan masalah kelahiran dan jangka hayat penduduk yang kritikal.
China baru-baru ini umumkan kadar populasi penduduknya menyusut buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun.
Berbeza dengan china, Jepun dikatakan lebih kritikal memandangkan jangka hayat penduduknya adalah tinggi, bermakna golongan menua adalah ramai sekali gus melebarkan jurang antara dua generasi.
Berdasarkan kepada data Bank Dunia, Jepun kini menjadi negara kedua di dunia di mana jangka hayat penduduknya tinggi selepas Monaco.
Justeru itu, Jepun perlu menangani dua isu penting, iaitu kadar kelahiran yang rendah dan pada masa sama, atasi masalah golongan menua.