Jepun bakal keluarkan pasport digital vaksin COVID-19 secara percuma
Bernama
Julai 12, 2021 06:26 MYT
Julai 12, 2021 06:26 MYT
TOKYO: Jepun dijangka mengeluarkan pasport vaksin secara percuma untuk kemudahan rakyatnya melakukan perjalanan ke luar negara, lapor Agensi Berita Anadolu.
Ketua Setiausaha Kabinet Katsunobu Kato berkata, dokumen imunisasi yang akan menjadi bukti sudah menerima vaksinasi COVID-19 itu akan dikeluarkan mulai 26 Julai.
Beliau berkata orang ramai boleh memohon sijil tersebut di majlis perbandaran mengikut pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin.
"Laman web Kementerian Luar akan menyenaraikan negara dan wilayah yang memudahkan proses kuarantin bagi mereka yang memiliki pasport vaksin," kata Kato dalam sidang media.
Jepun melaporkan 818,690 kes jangkitan akibat COVID-19 termasuk 14,948 kematian setakat ini.
Pihaknya melancarkan kempen vaksinasi pada Februari, dengan pemberian suntikan 57.4 juta dos, menurut laman web Our World in Data. Kira-kira 17 peratus daripada 126 juta penduduk sudah lengkap menerima dua dos.
Kerajaan meluluskan tiga jenis vaksin setakat ini, iaitu Pfizer-BioNTech, Oxford-AstraZeneca dan Takeda, sejenis vaksin mRNA dari firma Amerika Syarikat Moderna keluaran tempatan.
Negara ini bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik yang dijadual bermula 23 Julai, selepas ditangguhkan tahun lepas akibat pandemik.
Acara di Tokyo akan berlangsung tanpa kehadiran penonton berikutan pengisytiharan darurat COVID-19 di bandar tersebut.
-- BERNAMA