Jepun adakan PRU ketika PM Ishiba berusaha peroleh mandat baharu
Bernama
Oktober 27, 2024 10:00 MYT
Oktober 27, 2024 10:00 MYT
TOKYO: Pengundian bagi pilihan raya umum bermula di seluruh Jepun pada Ahad, ketika Perdana Menteri baharu Shigeru Ishiba, mencari mandat baharu di tengah-tengah keraguan terhadap pengurusan dana politik oleh parti pemerintah.
Parti Demokratik Liberal (LDP) bersama rakan pakatan juniornya, parti Komeito menyasarkan untuk mengekalkan majoriti dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 465 kerusi.
Bagaimanapun, tinjauan media menunjukkan mereka berdepan cabaran yang signifikan, lapor Agensi Berita Kyodo.
Keputusan akhir pilihan raya dijangka akan diumumkan pada awal Isnin.
Kira-kira 1,300 calon bersaing merebut 465 kerusi, dengan 289 diperuntukkan kepada kawasan undi tunggal dan 176 melalui perwakilan berkadar.
Ishiba membubarkan Dewan Perwakilan pada 9 Okt, hanya lapan hari selepas dilantik dengan berikrar untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap politik serta meneruskan inisiatif dasar utama.
Perdana Menteri berusia 67 tahun itu komited untuk mengurangkan kesan inflasi terhadap isi rumah, memperkukuh pertahanan Jepun daripada ancaman keselamatan dari negara jiran, serta meningkatkan ekonomi serantau dan kesiapsiagaan bencana.
-- BERNAMA