Jeneral Prem Tinsulanonda dinamakan sebagai pemangku raja Thailand sementara
Bernama
Oktober 15, 2016 16:05 MYT
Oktober 15, 2016 16:05 MYT
Presiden Majlis Privi Jen Prem Tinsulanonda dinamakan sebagai pemangku raja sementara berikutan permohonan Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn supaya diberi sedikit masa sebelum baginda menaiki takhta.
Pemilihan Prem, yang juga Perdana Menteri Thailand dari 1980 hingga 1988, disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-ngam dalam wawancara menerusi televisyen lewat malam tadi.
Wissanu yang bertanggungjawab berkaitan hal ehwal perundangan dalam kerajaan, mengesahkan perkara itu selepas Naib Presiden Parlimen Thailand (NLA) Pornsak Porjit memberitahu media tempatan tentang pelantikan Prem semalam.
Prem, 96, yang juga bekas Panglima Tentera Thailand, dilantik menganggotai majlis yang berkuasa penuh itu pada 1988.
Pada Khamis malam, beberapa jam selepas pengumuman rasmi kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej, Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-chan memberitahu media bahawa Putera Mahkota meminta diberi sedikit masa sebelum baginda menaiki takhta.
Beliau berkata Maha Vajiralongkorn, 64, yang dimasyhurkan sebagai pewaris takhta sejak 1972 ketika berusia 20 tahun, mahu berkabung bersama-sama rakyat Thailand atas kemangkatan ayahanda baginda.
Menurut perlembagaan Thai, Kabinet akan mengemukakan nama pewaris takhta kepada NLA sebelum parlimen mempersilakan baginda menaiki takhta untuk menjadi Raja Thailand yang berikutnya.
Raja yang paling lama menduduki takhta itu mangkat pada 3.52 petang di Siriraj Hospital selepas kesihatannya merosot sejak beberapa tahun lepas.
Raja Bhumibol berusia 89 tahun, menurut Biro Kerabat Diraja Thailand. -- BERNAMA