Jenazah bekas setiausaha agung ASEAN Allahyarham Dr Surin Pitsuwan dikebumikan

Bernama
Disember 1, 2017 10:59 MYT
Jenazah Dr Surin Pitsuwan yang meninggal dunia semalam disembahyangkan di Masjid Tha It, daerah Nonthaburi di Utara Bangkok hari ini. --fotoBERNAMA
Jenazah bekas Setiausaha Agung ASEAN, Allahyarham Dr Surin Pitsuwan yang meninggal dunia semalam selepas serangan jantung dikebumikan hari ini.
Jenazah negarawan berusia 68 tahun itu dikebumikan kira-kira 4.30 petang (waktu tempatan) di tanah perkuburan Islam bersebelahan Masjid Tha It, di Nonthaburi, Bangkok tidak jauh dari kediamannya dengan dihadiri beratus-ratus rakyat dari kalangan masyarakat Islam tempatan.
Beratus-ratus orang termasuk anak-anak lelakinya menyertai solat jenazah untuk allahyarham di masjid yang sama.
Raja Maha Vajiralongkorn dan Puteri Chakri Sirindhorn serta Puteri Soamsawali menghantar wakil mereka ke upacara pengebumian dan menyediakan "tanah diraja" untuk upacara pengebumian.
Allahyarham meninggal dunia kira-kira 3 petang (waktu tempatan) semalam selepas rebah di kediamannya ketika sedang bersiap untuk menghadiri Perhimpunan Halal Thailand 2017 di Bitec Bangna.
Surin dikejarkan ke Hospital Ramkhamhaeng tetapi disahkan meninggal tidak lama kemudian.
BACA: Pemergian Surin satu kehilangan besar buat ASEAN - Institut Integriti Malaysia
BACA: Belasungkawa: Tan Sri Dr Surin Pitsuwan
Antara kenamaan yang melawat kediamannya hari ini ialah bekas Perdana Menteri Chuan Leekpai yangh kekal sebagai penasihat kepada Parti Demokrat itu dan pemimpin kanan parti selain ahli politik dan anggota komuniti diplomatik.
Surin ialah timbalan menteri luar Thailand dari 1992 hingga 1995 sebelum dilantik sebagai menteri luar Thailand dari 1997 hingga 2001 semasa di bawah kepimpinan Leekpai.
Pada 1 Jan, 2008, beliau dinamakan sebagai setiausaha agung ASEAN.
Surin yang berasal dari Nakhon Si Thammarat meninggalkan seorang isteri, Alisa dan tiga orang anak. Allahyarham menjadi setiausaha agung ASEAN selama lima tahun dengan melakar banyak pencapaian di bidang diplomatik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Suwaphan Tanyuwattana yang mewakili Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha, juga mengunjungi kediaman Surin untuk menyampaikan ucapan takziah daripada kerajaan Thailand.
-- BERNAMA
#kebumi #meninggal dunia #Perhimpunan Halal Thailand 2017 #Surin Pitsuwan #tanah perkuburan #Thailand