Jenayah turun mendadak di Paris semasa Sukan Olimpik - Darmanin

Bernama
Ogos 2, 2024 21:16 MYT
Gerald Darmanin bercakap kepada media berhubung isu keselamatan ketika Sukan Olimpik Paris 2024 di Paris, Perancis, 25 Julai 2024. (Foto AP)
PARIS: Penempatan besar-besaran pasukan polis untuk Sukan Olimpik Paris 2024 telah menyebabkan penurunan mendadak dalam jenayah di kawasan Paris, kata Menteri Dalam Negeri Perancis Gerald Darmanin pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Semasa lawatan ke balai polis di pinggir bandar Paris, Saint-Denis, Darmanin berkata kesan kehadiran pasukan keselamatan yang meningkat, terdapat penurunan besar dalam jumlah kesalahan jenayah minggu lepas.
Kecurian menurun sebanyak 24 peratus dan kecurian kereta menurun sebanyak 10 peratus sejak permulaan Sukan Olimpik. Kesalahan keganasan di pengangkutan awam menurun sebanyak 40 peratus.
Setakat ini, 200 tangkapan telah dibuat di kawasan Paris, dengan 180 suspek ditahan, katanya.
Beberapa tindakan kekerasan yang dirancang dengan kemungkinan bermotif keganasan telah digagalkan oleh perkhidmatan perisikan, kata Darmanin.
"Kami menahan orang setiap hari yang kami percaya boleh melakukan tindakan jenayah, tetapi tiada ancaman yang dikenal pasti, tiada organisasi dari luar yang mahu menyerang kami," katanya.
"Penahanan hanya melibatkan individu yang bersendirian," katanya lagi.
Sekitar 30,000 anggota polis dan kira-kira 10,000 anggota tentera dikerahkan untuk menjaga keselamatan Sukan Olimpik di kawasan Paris.
-- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #keselamatan #jenayah #Gerald Darmanin