Jenayah perang: Tindakan Trump maafkan tentera AS amat memalukan
Razak Chik
November 17, 2019 00:15 MYT
November 17, 2019 00:15 MYT
PENTADBIRAN Donald Trump dan kerajaan United Kingdom mengambil langkah melindung anggota tenteranya yang terlibat kes jenayah perang di timur tengah walaupun menerima kutukan.
Menggunakan kuasanya sebagai 'Commander-in-Chief', Trump mengampun dua anggota tentera Amerika Syarikat yang sedang menjalani hukuman jenayah perang. Trump juga membatalkan pelucutan pangkat seorang anggota SEAL tentera laut yang didapati bersalah bergambar dengan mayat seorang anggota IS.
Tindakan Trump itu dianggap penggunaan kuasa presiden yang amat memalukan oleh Hina Shamsi, Pengarah Projek Keselamatan Kebangsaan, Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (American Civil Liberties Union - ACLU).
“Pengampunan memberi petunjuk yang terang sekali bahawa ia satu penghinaan terhadap perundangan, moral, sistem keadilan ketenteraan serta mereka yang menghormati undang undang dan peraturan dalam peperangan,” kata Shamsi.
Trump sebelum ini pernah menimbulkan kemungkinan akan 'mengampunkan' dirinya sendiri melalui kuasa eksekutif Presiden.
Kuasa mengampun ini selalunya digunakan Presiden Amerika sebelum meninggalkan White House sama ada setelah kalah pilihan raya mahupun setelah menghabiskan dua penggal sebagai POTUS.
Sementara itu, kerajaan Great Britain dan pihak tentera dituduh melindung anggota tenteranya yang terlibat dalam jenayah perang di Asia Barat.
Satu siasatan yang dijalankan oleh rancangan BBC Panorama bersama akhbar The Sunday Times mendedahkan bukti kukuh yang dikumpul dari 11 penyiasat British.
Siasatan baharu dijalankan oleh Pasukan Dakwaan Asal Iraq (Iraq Historic Allegation Team - IHAT) yang menyiasat semula jenayah yang dilakukan sewaktu penglibatan tentera UK dalam perang di Iraq dan Afghanistan.