Jenayah perang terhadap orang awam di Syria, Rusia diheret ke ICC
Syria Care
Mac 7, 2018 16:09 MYT
Mac 7, 2018 16:09 MYT
PENDUDUK Syria menderita teruk ekoran keganasan di seluruh negara sehingga menyebabkan ratusan orang awam terkorban dan tercedera.
Menurut laporan Inkuiri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rusia dan Amerika Syarikat bertanggungjawab melakukan jenayah perang di atas serangan di Syria yang melibatkan kematian orang awam dalam jumlah yang tinggi.
Manakala regim Bashar al Assad telah disahkan atas tindakan menyalahi undang-undang kerana melancarkan serangan senjata kimia ke atas penduduk Timur Ghoutah.
Dalam laporan berkenaan, ia turut menemui petunjuk bahawa pesawat Rusia telah tersalah sasar dalam serangan ke atas pasar di Atareb, Idlib pada November lalu sehingga membunuh lebih 84 nyawa.
Namun begitu, tiada bukti yang menunjukkan serangan ke atas premis awam di kawasan yang diisytihar zon bebas perang oleh Rusia, Iran dan Turki itu dibuat secara sengaja.
Bagi mengheret Moscow ke muka pengadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), kenyataan pertama telah dikeluarkan oleh jawatankuasa tersebut diatas serangan sembarangan yang dilakukan sehingga membunuh dan mencederakan orang awam.
Laporan yang sama turut mendedahkan 150 penduduk yang terkorban dalam tiga serangan udara yang dibuat Amerika Syarikat dan sekutunya, ke atas sebuah sekolah di Al-Badiya, Raqqa pada Mac 2017.
Menurut Inkuiri yang dilakukan, tiada anggota Daish yang bersembunyi di premis yang diserang dan ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa kerana gagal melindungi orang awam.
Laporan Jawatankuasa Inkuiri PBB setakat ini dibuat berdasarkan kepada temuramah yang dikendali secara rahsia, serta melalui media sosial membabitkan mangsa dan saksi di dalam dan di luar Syria.
#Amerika Syarikat
#Iran
#jenayah
#keganasan
#mahkamah
#Media
#media sosial
#Moscow
#PBB
#pesawat
#Rusia
#serangan
#Syria
#Timur Ghoutah
#Turki
#undang-undang