Jemaah Palestin diserang pelampau Yahudi, rejim Zionis di al-Aqsa
Astro Awani
Jun 2, 2019 22:55 MYT
Jun 2, 2019 22:55 MYT
Pertempuran ganas tercetus di antara penduduk Palestin dan rejim Zionis di pekarangan Masjid al-Aqsa hari ini.
Kejadian berlaku apabila sekumpulan pelampau Yahudi bertindak biadab menceroboh masuk Haram al-Sharif.
Agensi berita Anadolu melaporkan polis Israel membenarkan lebih 400 pelampau Yahudi memasuki kawasan itu sebagai langkah provokasi bertepatan dengan ulang tahun pencerobohan Israel ke atas Baitulmaqdis selepas Perang Enam Hari 1967.
Pertempuran berlaku selepas ratusan jemaah melaungkan kalimah ‘Allahuakbar’ sebagai membantah perbuatan biadab puak pelampau yang mencemari kesucian masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu.
Polis Israel kemudian menyerang beberapa jemaah Palestin termasuk pengawal al-Aqsa yang cuba menghalang provokasi kumpulan pelampau Yahudi tersebut.
“Mereka turut melepaskan gas pemedih mata dan bertindak mengusir para jemaah ke pintu masuk bahagian selatan al-Aqsa. Beberapa orang dilaporkan cedera dan diberkas rejim Zionis,” lapor Anadolu lagi.
Difahamkan, ia adalah pertama kali dalam tempoh tiga dekad pelampau Yahudi dibenarkan memasuki pekarangan al-Aqsa pada minggu akhir Ramadan.
Pada 1988, pekarangan al-Aqsa ditutup kepada pelampau Yahudi selepas ulang tahun pendudukan Israel itu turut jatuh pada minggu akhir Ramadan.
#Baitulmaqdis
#Haram al-Sharif
#Israel
#pekarangan Masjid al-Aqsa
#pelampau Yahudi
#penduduk Palestin
#Perang Enam Hari 1967
#rejim Zionis