Jemaah haji kini bertumpu di Mina

Shafizan Johari
Jun 14, 2024 21:06 MYT
Kementerian Kesihatan berkali-kali mengingatkan para jemaah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) tentang kepentingan menjaga diri dalam mendepani cuaca panas. - Foto ihsan Saudi Press Agency (SPA)
MEKAH: Jutaan jemaah yang tiba ke Mekah sejak beberapa minggu lalu kini mula berangkat ke Mina bagi perjalanan menunaikan ibadah haji.
Dianggarkan jumlah jemaah luar negara mencecah 1.5 juta orang dengan puluhan ribu lagi warga tempatan bakal menyertai Rukun Islam kelima itu tahun ini.
Ibadah tahun ini juga menyaksikan pelbagai inovasi terbaharu daripada agensi-agensi dan kementerian-kementerian kerajaan dalam usaha memberikan pengalaman lebih baik buat para jemaah.
Antaranya penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan data raya untuk membantu kelancaran ibadah haji.
Bagaimanapun, ibadah haji tahun ini tetap mempunyai cabaran tersendiri, antaranya suhu panas yang diramal mencecah 48 darjah Celsius.
Oleh itu, Kementerian Kesihatan berkali-kali mengingatkan para jemaah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) tentang kepentingan menjaga diri dalam mendepani cuaca panas.
Mereka akan menghabiskan hari Tarwiyah dengan solat dan zikir di khemah mereka sebagai persiapan untuk wukuf di Arafah pada Sabtu iaitu puncak haji tahunan.
Di Mina, yang terletak 7 kilometer di timur laut Masjidil Haram, para jemaah menunaikan solat zuhur, asar, maghrib, isyak dan subuh.
Mereka memendekkan solat zuhur, asar dan isyak menjadi dua rakaat, sepertimana yang diamalkan Rasulullah (SAW).
Terletak di dalam sempadan Masjidil Haram, Mina adalah sebuah lembah yang dikelilingi pergunungan di kedua-dua belah utara dan selatan.
Ia hanya didiami semasa musim haji.
Ia bersempadan dengan Jamrat Al-Aqabah di sisi Mekah, dan dengan Wadi Muhasser di sebelah Muzdalifah.
#jemaah haji #berita haji #Wukuf #Mina #Arafah
;