Jemaah di masjid Kanada berjaya halang serangan lelaki berkapak
Astro Awani
Mac 20, 2022 13:02 MYT
Mac 20, 2022 13:02 MYT
PARA jemaah di sebuah masjid di Kanada berdepan detik cemas selepas seorang lelaki bersenjatakan kapak dan semburan yang digunakan untuk menghalau beruang cuba melakukan serangan dalam kejadian pada Sabtu pagi.
Memetik laporan media antarabangsa, serangan tersebut berjaya dipatahkan oleh jemaah, dan tiada kecederaan parah dilaporkan.
Menurut pihak polis, lelaki berusia 24 tahun itu memasuki masjid di pekan Mississauga, pinggir bandar Toronto dan terus menghalakan penyembur terbabit ke arah pengunjung sebelum ditumpaskan jemaah masjid.
Suspek yang dikenali sebagai Mohammad Moiz Omar kemudian ditahan di lokasi kejadian, dengan beberapa jemaah mengalami kecederaan ringan akibat terkena semburan.
Suspek didakwa atas enam kesalahan termasuk menyerang dengan senjata dan menggunakan bahan berbahaya dengan niat untuk membahayakan nyawa atau menyebabkan kecederaan.
Sementara itu, seorang jemaah, Noorani Sairally menyifatkan pengalaman berdepan insiden itu sebagai mengerikan.
Katanya, dia mendengar jeritan sebelum menoleh untuk melihat seorang lelaki yang memegang kapak dan menyembur semburan menghalau beruang terhadap tiga individu.
"Ketika suspek sedang menyembur, orang di barisan pertama menyedari sesuatu sedang berlaku dan salah seorang lelaki muda menoleh lalu menolak kapak (yang dipegang suspek).
"Lelaki muda itu kemudian menahan penyerang sehingga polis tiba," kata saksi itu.
Susulan insiden tersebut, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau melalui kemas kini di laman Twitter mengutuk serangan itu sebagai 'sangat mengganggu'.
Beliau dalam masa yang sama turut memuji keberanian para jemaah di masjid itu.
"Saya mengutuk sekeras-kerasnya keganasan ini, yang tidak mempunyai tempat di Kanada. Saya mendoakan (keselamatan) komuniti," tulisnya.
Setakat ini motif sebenar kejadian masih belum dikenal pasti, tetapi penyiasat percaya serangan "bermotifkan kebencian".