Jawapan untuk masa depan, syarikat ini labur bina kilang serangga terbesar dunia

Agensi
Oktober 26, 2020 09:00 MYT
Ynsect menternak larva kumbang mealworm (Tenebrio molitor) yang berupaya menjadi sumber protein yang digunakan untuk ternakan haiwan, makanan haiwan dan pemprosesan baja. -Reuters
DOLE: Permintaan global yang meningkat ke atas sumber bekalan makanan dalam keterbatasan ruang tanah membuatkan sebuah syarikat baharu Perancis memikirkan satu penyelesaian – penternakan serangga dalam bangunan.
Syarikat Ynsect meraih sumbangan dana berjumlah AS$224 juta, termasuk daripada yayasan milik bintang Hollywood, Robert Downey Jr. iaitu Footprint Coalition.
Ia antara lain dimanfaatkan untuk membina ladang serangga kedua di Amiens, utara Perancis, yang dikatakan bakal menjadi ladang ternak terbesar seumpamanya di dunia.
Reuters melaporkan, syarikat itu menternak larva kumbang mealworm (Tenebrio Molitor) yang berupaya menjadi sumber protein yang digunakan untuk ternakan haiwan, makanan haiwan dan pemprosesan baja.
Dijadual dibuka pada awal 2022, ia bakal menghasilkan 100,000 tan produk serangga seperti tepung dan minyak setiap tahun. Kilang itu juga berfungsi di tapak lokasi yang terpelihara, sementara menawarkan 500 peluang kerja.
Premis kilang setinggi 40 meter itu terletak dalam kawasan seluas 40,000 meter persegi. Ia adalah ruang ternak vertikal tertinggi di dunia dan menjadi ladang vertikal pertama seumpamanya yang tidak menghasilkan jejak karbon,” kata Ketua Pegawai Eksekutif merangkum pengasas bersama Ynsect, Antoine Hubert.
Hubert berkata demikian di kilang pertama syarikat itu, yang dibuka di Dole, timur Perancis pada 2016. Di situ, jentera khas menggerakkan dulang-dulang yang berisi jutaan larva mealworm.
"Adalah penting untuk membangunkan sektor serangga hari ini kerana dunia memerlukan lebih banyak protein dan lebih banyak makanan dan bahan untuk dijadikan sumber makanan haiwan ternakan.
“Semua itu seterusnya demi menghasilkan lebih banyak bekalan daging dan ikan.
“Namun, lebih daripada itu, secara jelasnya, makanan manusia adalah suatu pasaran luas,” ujar Hubert.
#ynsect #serangga #bekalan makanan #sumber makanan #inovasi #Antoine Hubert #Robert Downey Jr #Footprint Coalition #Amiens #mealworm #Tenebrio Molitor #penternakan serangga dalam bangunan
;