Jasad Ratu Elizabeth II tiba di Edinburgh

Agensi
September 11, 2022 00:15 MYT
Jasad baginda akan ditempatkan di Istana Holyroodhouse sebelum dipindahkan ke Katedral St Giles pada petang Isnin. - REUTERS/Jason Cairnduff
LONDON: Jasad Ratu Elizabeth II kini ditempatkan di Istana Holyroodhouse di Edinburgh, setelah melalui perjalanan enam jam dari Istana Balmoral.
Jasad baginda akan ditempatkan di Istana Holyroodhouse sebelum dipindahkan ke Katedral St Giles pada petang Isnin, di mana rakyat jelata dijadual memberikan penghormatan terakhir kepada ratu kesayangan mereka.
Terdahulu, kenderaan jenazah yang membawa keranda Ratu Elizabeth II meninggalkan Istana Balmoral, iaitu kediaman peribadi tempat baginda menghembuskan nafas terakhir.
Suasana sayu mengiringi konvoi kenderaan jenazah, dengan ribuan rakyat jelata berbaris di sepanjang jalan-jalan utama, bagi memberikan penghormatan terakhir.
Keranda baginda jelas kelihatan menerusi tingkap kenderaan.
Kelihatan kalungan bunga yang diperbuat daripada beberapa bunga kegemaran ratu, menghiasi keranda yang dibaluti bendera peribadi baginda.
Konvoi kenderaan itu disertai Puteri Anne dan, suaminya, Naib Laksamana Sir Tim Laurence.
Jasad baginda dijadual berada di Edinburgh selama sehari sebelum diterbangkan ke London pada Selasa.
Raja Charles III dijadual berangkat ke Edinburgh pada Isnin.
#Ratu Elizabeth II #Edinburgh #Istana Balmoral #Queen Elizabeth II
;