Jasad Ratu Elizabeth II ditempatkan di Westminster Hall empat hari sebelum pemakaman

Nickyson Nyambar
September 14, 2022 23:01 MYT
Jasad Ratu Elizabeth II meninggalkan Istana Buckingham yang menjadi kediaman rasmi baginda sepanjang tujuh dekad memerintah sebelum dibawa ke Westminster Hall di tengah kota London. - Gambar/ AP
LONDON : Pedati diraja yang membawa keranda mendiang Ratu Elizabeth II meninggalkan Istana Buckingham buat kali terakhir menuju ke Westminster Hall sebelum disemadikan bersebelahan suaminya, Putera Phillip dalam ucapara pengebumian negara, Isnin depan.
Mengiringi perjalanan terakhir Ratu Elizabeth adalah Raja Charles III, Puteri Anne, Putera Edward dan Putera Andrew disertai Putera William dan Putera Harry.
Upacara yang dilakukan penuh istiadat itu disertai perarakan tentera berkuda melalui pusat bandar utama serta monumen-monumen penting yang signifikan dalam tempoh pemerintahan monarki diraja Britain itu.
Jasad baginda akan ditempatkan di Westminster Hall selama empat hari sebelum dikebumikan di Gereja Westminster Abbey yang terletak berhampiran.
Puluhan ribu orang berada di sepanjang jalan menyaksikan istiadat bersejarah itu.
Orang ramai dibenarkan untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum berlangsungnya hari pemakaman baginda yang akan turut dihadiri pemimpin serta pemerintah dari seluruh dunia.
Terdahulu, keranda yang membawa jasad Ratu Elizabeth II tiba di Istana Buckingham, London pada Selasa malam waktu tempatan.
Ketibaannya disambut orang ramai di pekarangan luar istana selepas dibawa dengan pesawat dari Scotland.
#Kemangkatan Ratu Elizabeth II #takhta Britain #penghormatan terakhir #Westminster Hall
;