Jasad Ismail Haniyeh tiba di Doha

Astro Awani
Ogos 1, 2024 06:00 MYT
Beberapa orang yang mengusung kerandanya untuk dibawa masuk ke dalam ambulans turut dilihat melaungkan 'Allahuakbar'. - Foto REUTERS
DOHA: Jasad Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh tiba di Doha, Qatar sebelum upacara pengebumian berlangsung pada Jumaat.
Anggota Hamas, termasuk bekas ketua kumpulan, Khaled Meshaal dilihat berdiri di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Doha bagi menyambut keranda.
Beberapa orang yang mengusung kerandanya untuk dibawa masuk ke dalam ambulans turut dilihat melaungkan 'Allahuakbar'.
Laporan turut menyebut jasad Allahyarham Ismail akan disolatkan di Masjid Imam Mohamed bin Abdul Wahab di Doha.
Ismail, yang biasanya berpangkalan di Qatar, terkorban di ibu negara Iran, Tehran pada awal pagi Rabu.
Serangan yang menimbulkan ancaman balas dendam terhadap Israel itu turut mencetuskan kebimbangan lebih lanjut bahawa konflik di Gaza akan lebih memburuk.
Walaupun serangan ke atas Ismail secara meluas didakwa telah dilakukan Israel, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu tidak mengaku bertanggungjawab dan berkata ia tidak akan membuat sebarang komen mengenai pembunuhan itu.
#Jasad #Ismail Haniyeh #Hamas #upacara pengebumian
;