Jasad anggota tentera AS Tommie Hanks dikenal pasti selepas 72 tahun
Astro Awani
November 12, 2022 09:30 MYT
November 12, 2022 09:30 MYT
IDENTITI seorang anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang diisytihar hilang dan meninggal dunia ketika Perang Korea telah dikenal pasti selepas 72 tahun.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pertahanan AS (DPPA), Koperal Tommie T Hanks, 27, maut ketika unit tenteranya cuba berundur dari Anju di Korea Utara pada tahun 1950.
Hampir 7,600 anggota tentera yang maut dalam perang itu masih dilaporkan hilang, kata kenyataan itu.
Koperal Hanks dilaporkan hilang pada 26 November ketika unitnya cuba berundur di kawasan Sungai Ch'ongch'on berdekatan dengan Anju.
Jasadnya berjaya dikenal pasti selepas Korea Utara menyerahkan 55 keranda mengandungi jasad anggota tentera AS yang terbunuh ketika Perang Korea.
Para saintis menggunakan kaedah analisis isotop untuk mengenal pasti identiti Hanks.
Jasad mendiang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kebangsaan Arlington dalam masa terdekat.
Sejak tahun 1982, jasad lebih 450 anggota tentera AS yang maut dalam pertempuran Perang Korea telah dikenal pasti dan diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan.
Perang Korea disifatkan sebagai perang terburuk ketika era Perang Dingin dengan lebih 36,500 anggota tentera AS terkorban.