Jasad 38 warga India dibunuh Daish dijangka tiba di India pada Isnin
APTN
April 1, 2018 05:26 MYT
April 1, 2018 05:26 MYT
Jasad 38 pekerja tapak pembinaan warga India yang ditangkap dan dibunuh kumpulan Daish di utara Iraq pada 2014 diserahkan kepada pihak berkuasa India di Baghdad.
Kesemua 38 jasad ini diterbangkan menggunakan pesawat tentera pada Ahad dan dijangka tiba di India pada hari ini.
Menteri Luar India, Vijay Kumar Singh yang berada di lapangan terbang antarabangsa Baghdad bagi menyaksikan proses memindahkan keranda ke dalam pesawat berkata kerajaan India mengutuk sekeras-kerasnya aktiviti keganasan.
Mereka yang bekerja dengan sebuah syarikat pembinaan yang beroperasi di Mosul dibunuh sejurus puak pengganas ini menawan bandar utara Mosul pada musim panas tahun yang sama.
Kubur mereka dikesan oleh pihak berkuasa Iraq selepas berjaya menawan semula Mosul dan proses pengecaman mayat dijalankan pada bulan lepas.
Ketika kejadian, 40 orang ditangkap namun salah seorang mereka berjaya melarikan diri manakala baki satu mayat masih belum dikenal pasti identitinya dan pihak berkuasa masih menunggu sampel ujian DNA dari ahli keluarga terdekat.