Jasa Raharja jamin bayar pampasan mangsa nahas JT610
Sinar Harian
Oktober 30, 2018 05:55 MYT
Oktober 30, 2018 05:55 MYT
Syarikat insurans milik kerajaan, Jasa Raharja memberi jaminan, semua penumpang pesawat malang Lion Air JT610 atau waris terdekat akan diberi pampasan mengikut undang-undang sedia ada dan peraturan Kementerian Kewangan 2017.
“Jasa Raharja bersedia memberi pampasan berjumlah Rp 50 juta (RM13,733.94) untuk mangsa yang maut manakala Rp 25 juta (RM6,866.97) untuk menampung kos hospital mangsa yang cedera,” kata pengarah syarikat, Budi Rahardjo dalam satu kenyataan dipetik laman web Jakarta Post pada Isnin.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Nugroho Budi Wiryanto berkata, pihaknya mengerah 150 kakitangan termasuk pasukan 30 penyelam, sementara Tentera Indonesia (TNI) dan Polis Nasional pula menghantar 150 anggota.
Pasukan SAR 300 anggota itu turut dibantu nelayan tempatan, dan ia akan menambah jumlah kakitangan bagi meningkatkan operasi.
Pesawat malang membawa 189 penumpang terdiri daripada 178 dewasa, tiga kanak-kanak, dua juruterbang dan enam kru.
Antara penumpang pesawat Boeing 737 MAX 8 tersebut adalah puluhan kakitangan Kementerian Kewangan, Agensi Audit Tertinggi (BPK) serta Kementerian Tenaga dan Alam Sekitar.
“Kami berharap keajaiban daripada Tuhan. Basarnas menghantar sumber penuh dari segi peralatan untuk operasi SAR. Kami masih belum menemui kotak hitam, justeru penemuan kami belum bererti,” katanya.
Pengawal trafik udara (ATC) Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta terputus hubungan dengan JT610 pada jam 6.33 pagi Isnin, kira-kira 13 minit sejurus berlepas.
Pihak berkuasa kemudian mengumumkan pesawat terhempas 12.96 kilometer di utara pantai Tanjung Bungin di Karawang, Jawa Barat. - Agensi
#Basarnas
#Boeing
#cedera
#Hospital
#Indonesia
#insurans
#Jakarta
#kerajaan
#Lion Air JT610
#mangsa
#maut
#Nugroho Budi Wiryanto
#pampasan
#penumpang
#pesawat
#terhempas