Japan Airlines tawar penukaran tiket, bayaran balik susulan nahas JAL516 di Haneda
Astro Awani
Januari 3, 2024 15:22 MYT
Januari 3, 2024 15:22 MYT
TOKYO: Japan Airlines (JAL) dilapor menawarkan penukaran percuma tiket atau bayaran balik kepada penumpang yang terjejas bagi tarikh hingga 31 Mac 2024.
Pelanggan boleh memohon perubahan tempahan dan bayaran balik untuk tiket yang dikeluarkan sebelum 2 Jan 2024.
Perubahan tempahan boleh dilakukan untuk penerbangan antarabangsa alternatif sehingga 20 April 2024, manakala pembatalan hendaklah dibuat sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu berlepas.
Mereka yang telah menempah tiket domestik boleh menukarkannya kepada penerbangan ganti yang berlepas sehingga 30 hari dari tarikh berlepas asal, dan boleh memohon bayaran balik sekurang-kurangnya 20 minit sebelum waktu berlepas.
Ia termasuk tiket yang ditempah pada penerbangan berkongsi kod, juga penerbangan anak syarikatnya yang termasuk syarikat penerbangan tambang rendah Zipair, Spring Airlines dan Jetstar Japan, serta syarikat penerbangan domestik Hokkaido Air System, Ryukyu Air Commuter dan Japan Transocean Air.
Pengumuman itu dibuat susulan nahas membabitkan penerbangan Japan Airlines JAL516 yang bertembung dengan pesawat Pengawal Pantai Jepun semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda di Tokyo pada 2 Jan.
Kesemua 379 penumpang dan anak kapal pesawat Airbus A350 telah dipindahkan dengan selamat dari pesawat, namun lima daripada enam anak kapal Pengawal Pantai terbunuh dalam nahas itu.
Lima yang terkorban ialah anggota Pengawal Pantai Yoshiki Ishida, 27; Wataru Tatewaki, 39; Nobuyuki Tahara, 41; Makoto Uno, 47; dan Shigeaki Kato, 56.
Juruterbang pesawat Pengawal Pantai, Genki Miyamoto berusia 39 tahun sempat keluar dari bangkai pesawat, namun dalam keadaan parah.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook dan laman webnya, JAL berkata: “Kami mengucapkan takziah kepada keluarga anggota Pengawal Pantai Jepun yang kehilangan nyawa akibat insiden ini dan memohon maaf atas kesulitan yang dialami para penumpang, keluarga, dan mereka yang terjejas.
"Keselamatan pelanggan dan pekerja adalah keutamaan No. 1 kami, dan kami bekerjasama sepenuhnya dengan penyiasatan ini," tulis kenyataan itu.
Japan Airlines ialah ahli perikatan Oneworld yang merangkumi British Airways, Cathay Pacific, Malaysia Airlines, Qatar Airways, dan Qantas.