Jantung tertua di dunia ditemui dalam ikan prasejarah
Agensi
September 16, 2022 17:40 MYT
September 16, 2022 17:40 MYT
PENYELIDIK telah menemui jantung berusia 380 juta tahun pada fosil ikan prasejarah.
Penemuan itu merupakan detik penting dalam evolusi organ berkenaan yang terdapat pada semua haiwan vertebrata dan manusia.
Jantung itu milik seekor ikan yang telah lama pupus, dan diberi nama Gogo.
Ketua saintis, Prof Kate Trinajstic dari Curtin University di Perth memberitahu BBC tentang saat dia dan rakan-rakannya menyedari bahawa mereka telah membuat penemuan terbesar dalam hidup mereka.
"Biasanya, tulang yang bertukar menjadi fosil, dan bukannya tisu lembut. Tetapi di sebuah lokasi ini di Kimberley, dikenali sebagai batuan Gogo, elemen mineral telah mengekalkan banyak organ dalaman ikan, termasuk hati, perut, usus dan jantung.
"Ini adalah detik penting dalam evolusi kita," kata Prof Trinajstic.
Ikan Gogo adalah yang pertama dari kelas ikan prasejarah yang dipanggil placoderm. Ia adalah ikan pertama yang mempunyai rahang dan gigi serta boleh membesar sehingga 29.5 kaki (9 meter) panjang.
Placoderm merupakan hidupan dominan planet ini selama 60 juta tahun, wujud lebih daripada 100 juta tahun sebelum kewujudan dinosaur.
Imbasan fosil ikan Gogo menunjukkan bahawa jantungnya lebih kompleks daripada yang dijangkakan untuk ikan primitif.
Ia mempunyai dua ruang di atas satu sama lain, struktur yang serupa dengan jantung manusia.
Para penyelidik membuat kesimpulan, ia adalah faktor yang menjadikan jantung haiwan itu lebih cekap dan merupakan langkah kritikal yang mengubahnya daripada ikan yang bergerak perlahan kepada pemangsa yang bergerak pantas.
Pemerhatian penting lain ialah kedudukan jantungnya berada lebih hadapan berbanding ikan yang lebih primitif.
Kedudukan ini dikaitkan dengan bentuk leher ikan Gogo dan memberi ruang untuk paru-paru.
Dr Zerina Johanson dari Natural History Museum, London, yang merupakan peneraju dalam kajian placoderm, menyifatkan penyelidikan itu sebagai "penemuan yang sangat penting" yang membantu menjelaskan mengapa tubuh badan manusia menjadi seperti hari ini.
"Terdapat banyak perkara yang berlaku pada placoderm ini yang kita lihat ada pada diri kita hari ini seperti leher, bentuk dan kedudukan jantung dalam badan," katanya.