Jangkitan kulat: Pertama kali disenarai WHO sebagai ancaman kesihatan
Astro Awani
Oktober 26, 2022 11:40 MYT
Oktober 26, 2022 11:40 MYT
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) buat pertama kalinya menyenaraikan patogen kulat sebagai menimbulkan ancaman terbesar kepada kesihatan manusia.
Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memberi amaran, beberapa mutasi semakin kuat dan meluas, malah ubat-ubatan dilihat tidak berkesan.
WHO berkata, jangkitan kulat dan ketahanan terhadap rawatan adalah risiko yang semakin meningkat.
Jelas badan itu, kekurangan tumpuan sebelum ini terhadap bahayanya bermakna, terdapat jurang yang besar dalam pengetahuan, serta kekurangan pengawasan, rawatan dan diagnostik.
Menurut WHO, akibat kekurangan data, sukar untuk menganggarkan skala ancamannya. Oleh itu, kerajaan dan penyelidik digesa berusaha meningkatkan tindak balas terhadap 19 kulat dalam senarai itu.
Sementara itu, Penolong Ketua Pengarah (Antimikrob) WHO Dr Hanan Balkhy berkata, jangkitan kulat yang sukar dirawat semakin meningkat, menjadikannya satu kebimbangan kesihatan awam di seluruh dunia.
Jangkitan kulat sering menyerang individu yang sakit teruk, seperti pesakit kanser atau tuberkulosis, dan kadarnya meningkat dalam kalangan pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital semasa wabak itu.
Perubahan iklim juga bermakna kejadian dan julat geografi patogen semakin berkembang, manakala faktor ketahanan sebahagiannya didorong oleh penggunaan berlebihan antikulat dalam pertanian.
Senarai itu membahagikan patogen kepada tiga kategori keutamaan berdasarkan potensi impak dan data berhubung kesukaran merawatnya, iaitu kritikal, tinggi dan sederhana.
Jangkitan kulat yang kritikal termasuk Candida auris yang sangat tahan terhadap ubat dan telah menyebabkan beberapa wabak di hospital seluruh dunia.
Jangkitan kategori tinggi termasuk dari keluarga Candida dan juga Mucorales, yang mengandungi mucormycosis atau 'kulat hitam' yang banyak menyerang pesakit di India ketika wabak COVID-19.
Kategori sederhana termasuk Coccidioides spp dan Cryptococcus gattii.