AS jangka Rusia bertindak dalam masa terdekat

Astro Awani
Februari 7, 2022 08:40 MYT
Penduduk tempatan menyertai latihan 'Bersedia! Jangan panik!' berhampiran Kyiv, Ukraine, 6 Feb 2022. -Foto AP
WASHINGTON: Amerika Syarikat menjangka Rusia akan menceroboh Ukraine dalam tempoh beberapa hari atau minggu akan datang.
Namun Penasihat Keselamatan White House Jake Sullivan optimis Kremlin masih boleh memilih pendekatan diplomatik sebagai penyelesaian ketegangan dengan negara itu.
Kenyataan Sullivan ini dikeluarkan selepas pengesahan Rusia sudah menempatkan lebih 70 peratus angkatan tenteranya di sempadan Ukraine.
Sullivan percaya, Rusia yang menawan wilayah Crimea dari Ukraine pada 2014, dalam persediaan untuk menawan Ukraine pada skala besar.
Di pihak Rusia, walaupun ia menempatkan lebih 100,000 tentera di sempadan, ia tiada rancangan untuk pencerobohan.
Namun ia mengakui bakal bertindak sekiranya tuntutan keselamatan dibuat kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Amerika tidak dipenuhi.
Ini melibatkan janji NATO tidak akan menerima keahlian Ukraine dalam pertubuhan itu.
Tuntutan ini bagaimanapun sesuatu yang tidak dapat diterima.
Sementara itu, Washington menegaskan ia tidak akan menghantar tentera untuk mempertahankan Ukraine, yang belum menjadi anggota NATO.
#Amerika Syarikat #Rusia #Ukraine #ceroboh
;