Jangka hayat penduduk Korea Selatan turun kepada 82.7 tahun

Bernama
Disember 1, 2023 15:20 MYT
Ramai orang muda di Korea Selatan memilih untuk menangguhkan atau tidak berkahwin atau tidak mempunyai anak. - Gambar hiasan/ Reuters
SEOUL: Purata jangka hayat bayi yang dilahirkan di Korea Selatan tahun lalu turun sekitar satu tahun menjadi 82.7 tahun, menurut data yang dikeluarkan pada Jumaat.
Kelahiran pada tahun 2022 purata jangka hayat menurun sebanyak 0.9 tahun berbanding tahun sebelumnya, lapor Agensi Berita Yonhap memetik data yang dikumpulkan oleh Statistik Korea.
Berbanding sedekad yang lalu, angka itu 1.9 tahun lebih lama.
Jangka hayat pada tahun 1970, ketika agensi itu mula mengumpulkan data yang berkaitan adalah 62.3 tahun. Pada tahun 2009, jangka hayat mencapai 80 tahun untuk kali pertama.
Bayi lelaki dan perempuan yang dilahirkan pada tahun 2022 masing-masing secara purata dijangka hidup sehingga 79.9 tahun dan 85.6 tahun.
Jurang jangka hayat antara lelaki dan perempuan berkurang sebanyak 0.2 tahun menjadi 5.8 tahun, dan jurang itu menurun selepas mencatatkan 8.6 tahun pada tahun 1985.
Jangka hayat lelaki dan perempuan Korea Selatan masing-masing adalah 1.9 tahun dan 2.4 tahun lebih lama berbanding purata 38 negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Dari ahli OECD, Switzerland menduduki tempat pertama dalam jangka hayat tertinggi bagi lelaki iaitu sehingga 81.6 tahun dan Jepun menunjukkan jangka hayat paling lama bagi wanita iaitu 87.6 tahun.
Korea Selatan sedang berdepan dengan cabaran demografi disebabkan oleh masyarakat menua dan kadar kelahiran yang rendah.
Kadar kesuburan pula secara keseluruhan menunjukkan jumlah purata bayi yang dijangka dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya menurun ke tahap terendah sebanyak 0.7 pada suku ketiga tahun 2023.
Ramai orang muda di negara ini memilih untuk menangguhkan atau tidak berkahwin atau tidak mempunyai anak, susulan perubahan gaya hidup selain harga rumah yang tinggi, pasaran pekerjaan yang mencabar dan kelembapan ekonomi.
Negara ini telah mencapai status masyarakat menua pada 2017 dan keadaan itu dijangka menjadi lebih serius pada tahun 2025 apabila 20 peratus penduduknya terdiri mereka yang berusia 65 tahun ke atas.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #jangka hayat #tahap kesuburan #gaya hidup
;