Janggut topeng Firaun Tutankhamun tertanggal, lapan didakwa cuai
Agensi
Januari 26, 2016 19:54 MYT
Januari 26, 2016 19:54 MYT
Lapan petugas muzium didakwa pada Isnin atas kesalahan kecuaian apabila merosakkan dan gagal mencantumkan kembali bahagian janggut pada topeng artifak Firaun Tutankhamun yang tertanggal.
Artifak terkenal di Muzium Mesir di Kaherah itu merupakan tinggalan sejarah yang sangat berharga khususnya dalam dunia ketamadunan.
Sejak didedahkan kepada umum pada 2014, terdapat banyak teori timbul mengenai insiden kerosakan pada janggut topeng berwarna emas dan biru itu.
Pakar konservasi berkata, janggut tersebut patah apabila topeng berkenaan terjatuh ketika kerja-kerja pembersihan.
Ia telahpun disambung semula menggunakan gam yang kuat, namun sambungan itu meninggalkan kesan renggang yang jelas antara bahagian dagu dan janggut itu.
Ada pula yang mengatakan insiden itu terjadi kerana artifak itu sudah rosak kerana terlalu usang.
Bagaimanapun, pihak muzium menafikan teori berkenaan dan mengatakan laporan kerosakan itu tidak wujud.
Pihak pendakwa raya telah membuka kertas siasatan mengenai kerosakan berkenaan pada tahun lalu, dengan menekankan soal protokol pemuliharaan yang tidak dipatuhi petugas muzium.
“Petugas muzium begitu cuai mengendalikan artifak yang berusia 3,300 tahun dari peradaban paling tua di dunia,” ujar pendakwaan itu dalam sebuah kenyataan.
Lapan petugas muzium yang akan didakwa itu terdiri daripada enam pegawai pemuliharaan dan dua bekas ketua bahagian restorasi muzium tersebut. Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut tarikh perbicaraan akan dimulakan.