"Jangan salahkan semua penduduk Islam" - Malala

Kohilah Sekaran
Disember 16, 2015 15:59 MYT
Penerima Anugerah Keamanan Nobel 2014, Malala Yousafzai mengutuk kenyataan calon Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menggesa supaya umat Islam tidak dibenarkan memasuki negara itu.
Penerima Anugerah Keamanan Nobel 2014, Malala Yousafzai mengutuk kenyataan calon Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menggesa supaya umat Islam tidak dibenarkan memasuki negara itu.
Malala berkata komen Trump itu penuh dengan kebencian, dan tindakan menyalahkan umat Islam berhubung insiden keganasan hanya akan mengalakkan "lebih ramai pengganas''.
Menurut laporan BBC, Malala berkata demikian pada satu majlis yang diadakan untuk memperingati setahun serangan Taliban di sebuah sekolah di Peshawar, Pakistan yang mengakibatkan lebih 140 orang maut.
“Ia benar-benar tragis untuk mendengar komen yang penuh dengan kebencian dan diskriminasi terhadap orang lain."
Menurut aktivis yang berusia18 tahun itu, komen seperti itu boleh “mengalak lebih banyak pengganas" dan menggesa ahli-ahli politik dan media untuk mengendalikan perkara ini dengan lebih berhati-hati.
"Jika niat anda adalah untuk menghentikan keganasan, jangan cuba untuk menyalahkan seluruh umat Islam kerana tindakan itu tidak boleh menghentikan tindakan pengganas," kata Malala yang kini menetap di United Kingdom.
Semua sekolah dan pusat pengajian tinggi di beberapa wilayah di Pakistan ditutup hari ini bagi menandakan ulang tahun yang pertama serangan tersebut.
Malala juga ditembak oleh Taliban pada tahun 2012 kerana lantang memperjuangkan akses pendidikan kepada golongan perempuan.
Walaupun mendapat kecederaan teruk di bahagian kepalanya, Malala berjaya diselamatkan dan kini beliau menjadi simbol dunia dalam perjuangan kanak-kanak serta golongan wanita yang tidak dapat menikmati akses pendidikan.
Pada 8 Disember, Trump membuat kenyataan panas itu ekoran kejadian tembakan di California baru-baru ini yang melibatkan pasangan suami isteri yang dikaitkan dengan kumpulan militan IS.
#Donald Trump #Islam #Kenyataan #Malala
;