Jangan remeh keazaman China untuk ambil alih Taiwan - Naib Presiden
Agensi
September 22, 2023 09:15 MYT
September 22, 2023 09:15 MYT
NEW YORK: Naib Presiden China, Han Zheng pada Khamis memberi amaran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar tidak memandang remeh "keazaman kukuh" China dalam isu Taiwan, sambil menegaskan, Beijing memilih pendekatan damai untuk mengambil alih negara demokrasi itu.
Berucap pada sesi Debat Umum di Sidang Kemuncak PBB (UNGA) itu, Han Zheng mengulangi pendirian Beijing bahawa Taiwan - di sekelilingnya tanah besar telah mengadakan latihan ketenteraan secara berulang - merupakan sebahagian yang "tidak boleh dipisahkan" dari China.
"Tidak ada sesiapa yang sepatutnya meremehkan hasrat yang kukuh, keazaman yang tinggi, dan kekuatan rakyat China untuk mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayah mereka.
"Menghayati penyatuan semula China adalah aspirasi bersama semua anak-anak China," katanya.
"Kita akan terus berusaha untuk penyatuan semula secara aman dengan ketulusan yang terbesar dan usaha yang terutama."
Hampir semua negara di dunia lebih mengiktiraf Beijing berbanding Taipei tetapi Amerika Syarikat (AS) mempunyai hubungan tidak rasmi yang kuat dengan Taiwan dan membekalkan negara itu dengan senjata untuk memastikan pertahanan mereka.
Beberapa pegawai tertinggi AS telah menyuarakan kebimbangan bahawa China sedang meningkatkan persiapan untuk menawan pulau tersebut dengan kekerasan, terutamanya jika Taiwan mengambil langkah untuk secara rasmi mendeklarasikan kemerdekaannya.
Para penganalisis berpendapat, China telah mengambil pengajaran daripada konflik tercetus di Ukraine yang gagal dijajah oleh Rusia meskipun selepas lebih setahun setengah pencerobohan berlaku.
China merupakan sekutu Rusia, tetapi negara itu telah menghentikan sokongan ketenteraan yang besar kepada Moscow.
Menurut Han, China mahu "permusuhan dihentikan dan penilaian semula rundingan perdamaian" di Ukraine.
"China menyokong semua usaha yang membantu resolusi damai krisis Ukraine dan bersedia untuk terus memainkan peranan yang konstruktif dalam usaha mencapai perdamaian," katanya.
Han sebelum itu bertemu dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dalam usaha terbaharu dua kuasa besar dunia itu menguruskan ketegangan yang meluas di antara mereka. - AFP