Jangan mengelirukan pengguna, kata European Palm Oil Alliance
Bernama
Oktober 13, 2021 06:16 MYT
Oktober 13, 2021 06:16 MYT
KUALA LUMPUR: Sekarang adalah masa sesuai untuk pihak berkepentingan dalam minyak sawit di seluruh dunia menjadi sebahagian daripada proses dan tuntutan keadilan terhadap komoditi itu bagi mencegah maklumat mengelirukan mengenai minyak sawit.
Penasihat Undang-Undang European Palm Oil Alliance, Imkje Tiesinga berkata ini kerana parlimen Kesatuan Eropah (EU) sedang menyiapkan bahagian perundangan berkaitan strategi 'farm-to-fork' (proses dari ladang ke meja makanan) EU.
"Pengguna EU ketika ini mendapat maklumat salah apabila melihat label 'bebas daripada minyak sawit' pada produk dan mereka menganggapnya ia adalah sesuatu yang lebih baik.
"Bagi pandangan pengguna, maksud 'tidak mengandungi minyak sawit' ialah rendah atau dikurangkan asid lemak tepu, sehubungan itu dakwaan 'tiada sawit' itu adalah melanggar peraturan tuntutan.
"Dan dakwaan 'bebas daripada' adalah mengelirukan kerana sudah ada kewajipan untuk menyatakan bahan-bahan yang terdapat dalam barangan makanan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi webinar bertajuk 'Palm oil-free labels: Misleading the EU Consumer' dihoskan oleh Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
Maklumat yang lebih positif dan jujur mengenai minyak sawit yang mampan akan mengurangkan keperluan untuk mengiklankan mengenai produk bebas minyak sawit, kata Tiesinga.
Justeru, semua penggiat dalam rantaian minyak sawit perlu bekerjasama dengan bukan sahaja pengeluar dan negara pengeluar tetapi turut melibatkan pengeluar, peruncit, saintis dan organisasi bukan kerajaan.
"Mereka harus memasukkan maklumat salah itu mengenai aspek pemakanan untuk memberikan gambaran lengkap dan memperkukuhkan maklumat menerusi media sosial. Bersama-sama, kita dapat menjadikan minyak sawit lestari sebagai alternatif yang menarik."
Beliau juga menggesa para pemain minyak sawit untuk terlibat dalam dialog terbuka untuk mengetahui mengapa dakwaan 'bebas daripada' digunakan dan menjelaskan dengan jujur bersama maklumat yang telus bahawa menggunakan produk bebas minyak sawit pengguna akan mendapat maklumat salah mengenai aspek pemakanan dan/atau aspek kemampanan.
Sementara itu, Presiden Kehormat Solidaridad Network, Nico Roozen berkata masa depan minyak sawit adalah minyak sawit yang mampan.
"Jangan boikot tetapi tangani masalah kritikal. Saranan bahawa minyak sayuran alternatif dapat menggantikan minyak sawit adalah mengelirukan dan tidak produktif.
"Pada tahun 2017, permintaan minyak sayuran di peringkat global adalah 210 juta tan dan daripada jumlah itu minyak sawit hanya menggunakan 52.33 juta hektar tanah, ia merupakan penggunaan tanah yang sedikit dibandingkan dengan minyak bijian yang menggunakan 2.35 juta hektar, biji kapas minyak 1.65 bilion hektar, kacang tanah 1.16 bilion hektar dan minyak kelapa 671.13 juta hektar," katanya.
Penceramah pada acara hari ini berpandangan bahawa Eropah sedang mengalami perubahan besar dalam mempromosikan bukan hanya berkaitan kelestarian tetapi juga kesihatan dan mereka meminta industri minyak sawit dengan Indonesia dan Malaysia menjadi dua pengeluar terbesar untuk melakukan perubahan yang memberi kesan yang baik.
"Eropah mahu memperkasakan pengguna dan mempromosikan kelestarian dan kehidupan yang sihat tetapi pelabelan 'bebas daripada minyak sawit' sebenarnya tidak memperkasakan pengguna.
"Persoalannya adalah dari mana datangnya maklumat ini. Secara komersial, beberapa syarikat memanfaatkan kebimbangan dihadapi pengguna mereka terhadap minyak sawit," kata Pengasas Bersama Competere, Prof Pietro Paganini yang bertindak sebagai moderator pada sesi webinar tersebut.
-- BERNAMA