Jangan kahwin kerabat selagi darah luka masih meleleh
Razak Chik
Oktober 21, 2019 20:01 MYT
Oktober 21, 2019 20:01 MYT
PASANGAN diraja Britain Meghan Markle dan suaminya Putera Harry menganggap ada kalangan media sebagai penyebar berita palsu yang sanggup bertindak melampau bertujuan timbulkan sensasi.
Harry menyifat laporan negatif media memapar cerita tentang isterinya Meghan tak ubah nasib yang menimpa mendiang ibunya sewaktu diburu paparazzi, hingga saat kematiannya terlibat nahas kereta di Paris lebih 20 tahun lalu.
Pada waktu itu Harry baru berumur 12 tahun tetapi kehilangan ibunya meninggalkan kesan yang mendalam mencorak tanggapannya terhadap media dan paparazzi.
Sehingga hari ini, Harry menyifatkan sebahagian paparazzi bertanggung jawab mengekor dan mengejar ibunya hingga kereta Mercedes yang dikongsi dengan Dodi, anak sulung Mohamed Al Fayed – pada masa itu pemilik gedung Harrods di London – hilang kawalan dan melanggar tembok di terowong Pont de L’Alma di Paris.
Peranan paparazzi turut ditimbulkan polis tetapi tidak dituduh sebagai bertanggung jawab menyebabkan kemalangan. Di kalangan pendapat umum pula, tidak kurang yang mempersoal peranan mereka yang sibuk mengambil gambar dan bukan menghulur bantuan.
Dodi dan pemandu kereta Henri Paul meninggal di tempat kejadian manakala Puteri Diana – yang sudah bercerai dengan bapa Harry, Putera Charles pada masa itu – menghembuskan nafas terakhir di hospital pada 31 Ogos. Hanya pengawal peribadi Trevor Rees-Jones terselamat.
Mengikut Harry lagi, setiap kali lampu kamera berkelip apabila bersama isterinya Meghan, pasti mengembalikan ingatannya kepada kemalangan yang dialami mendiang ibunya.
Rintihan dan luahan Harry dan Megan dipapar melalui siaran dokumentari bertajuk Harry & Meghan: An African Journey yang menjadi antara tontonan paling popular ITV pada Ahad di United Kingdom.
Juga bergelar Duke and Duchess of Sussex, mereka ditemu bual oleh wartawan ITV Tom Bradby sewaktu Meghan dan Harry melawat Afrika Selatan pada September.
Meghan dan Harry menjadi bahan liputan meluas media dunia, lebih-lebih lagi setelah berkahwin di Windsor Castle pada Mei 2018 diikuti dengan kelahiran anak sulung mereka Archie awal tahun ini.
Isu perkauman turut timbul kerana Meghan warga Amerika kalangan rakyat biasa berdarah `kulit hitam’ – ibunya Doria Ragland berkulit hitam sementara bapanya Thomas Markle berkulit putih.
Semasa ditemu bual, Meghan mengaku diberi nasihat oleh rakan rakanya dari England agar tidak menerima lamaran Putera Harry bagi mengelakkan masalah melibatkan kahwin campur.
Meghan dan Harry menyaman The Mail on Sunday atas dakwaan akhbar tabloid itu mendedahkan surat peribadi kepada ayahnya.
Harry pula mengambil tindakan menyaman pemilik the Sun dan Daily Mirror atas dakwaan mengintip perbualan telefon.
The Mail On Sunday didakwa menyiar surat itu dengan memilih kandungan tertentu bagi tujuan memberi gambaran palsu tujuan sebenar Meghan sewaktu menulis.
Surat yang ditulis Meghan menyentuh perasaannya tentang bapanya dan perhubungan mereka yang agak berjauhan.
Akhbar itu juga didakwa gagal memberi amaran akan menyiarkannya pada waktu Meghan sedang menghadapi tekanan akibat mengandung anak sulung.
The Mail on Sunday menghadapi tindakan menyalahguna maklumat peribadi, hak cipta dan melanggar akta perlindungan maklumat.
#Harrods
#London
#Meghan Markle
#Mohamed Al Fayed
#paparazzi
#Pasangan diraja Britain
#penyebar berita palsu
#Putera Charles
#Putera Harry
#Tim Bradby