'Jangan jilat kodok ini!' - Pegawai taman negara AS beri amaran
Agensi
November 13, 2022 17:52 MYT
November 13, 2022 17:52 MYT
UTAH: Perkhidmatan taman negara Amerika Syarikat menyiarkan peringatan agar menjauhi tindakan menjilat 'kodok Gurun Sonora' sepertimana yang pernah ditayangkan dalam rancangan animasi popular, The Simpsons dan Family Guy.
Menurut pegawai taman negara, orang ramai diingatkan agar tidak menjilat sebarang penemuan di sana termasuk siput bulan, cendawan atau katak bersaiz besar yang memiliki mata bersinar pada waktu malam.
Difahamkan, spesies kodok itu memiliki saiz sepanjang tujuh inci (18 sentimeter) serta mampu merembeskan toksin yang boleh membuatkan manusia jatuh sakit jika terkena racunnya.
Mengapa pula ada yang mahu menjilatnya?
Walaupun menyedari risiko toksin itu, masih terdapat pihak yang 'suka mencabar diri' dengan mengenakan toksin pada kulit kodok itu ke mulut mereka, kerana bahan tersebut mengandungi kesan halusinogenik yang kuat dikenali sebagai 5-MeO-DMT.
5-Methoxy-N,N-dimethyltryptamine (5-MeO-DMT) mendorong individu berdepan dengan situasi khayal dan penggunaannya menjadi popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk dalam aktiviti tertutup atau bawah tanah yang digelar sebagai 'upacara kodok'.
Sebelum ini, juara tinju Mike Tyson dan Joe Rogan antara selebriti yang telah membincangkan penggunaan bahan tersebut untuk tujuan terapeutik, rekreasi dan juga rohani.
Pada masa sama, pihak taman negara tidak mengeluarkan sebarang angka pengunjung yang pernah menjilat kodok Gurun Sonora yang juga dikenali sebagai kodok Sungai Colorado yang banyak ditemui di barat daya Amerika Syarikat serta barat laut Mexico.
Spesies berkenaan merembeskan cecair 5-MeO-DMT dari kelenjarnya bagi tujuan pertahanan dari serangan.
Untuk mempertahankan diri daripada pemangsa, ia merembeskan bahan yang mengandungi pelbagai toksin, antaranya ialah 5-MeO-DMT -- sebatian psikoaktif yang mencetuskan kesan khayal.
Hakikatnya, racun kodok juga mengandungi bahan toksik lain yang boleh membawa maut apabila tertelan.
Para saintis juga telah memberi amaran bahawa permintaan yang semakin meningkat untuk bahan rembesan kodok Gurun Sonora turut menjadi ancaman buat spesies itu.