Jangan cabar Rusia jika tidak mahu Perang Dunia Ketiga tercetus - Presiden Belarus
Sinar Harian
Februari 28, 2022 09:30 MYT
Februari 28, 2022 09:30 MYT
MINSK: Presiden Belarus, Alexander Lukashenko memberi amaran terhadap keputusan melulu dan provokasi Barat yang mengenakan sekatan ketat ke atas Rusia yang dikhuatiri boleh mencetuskan Perang Dunia Ketiga.
"Sekatan ke atas sektor perbankan, minyak dan gas Moscow adalah lebih teruk daripada peperangan.
"Mereka seolah-olah sengaja beri tekanan kepada Kremlin untuk bertindak lebih dahsyat," katanya pada Ahad sambil menambah ia mungkin akan berakhir dengan konflik nuklear.
Di bawah langkah sekatan terbaharu, Kesatuan Eropah (EU), Britain, Kanada dan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan 'beberapa bank Rusia yang terpilih' akan diputuskan daripada sistem pembayaran antarabangsa SWIFT walaupun Moscow pernah memberi amaran langkah sedemikian dianggap sebagai 'deklarasi perang'.
"Rusia dan Belarus akan terus 'bertahan' walaupun berdepan sekatan tersebut," katanya merujuk kepada negaranya yang turut terkena tempias tindakan tegas tersebut selepas dituduh membantu kempen pencerobohan Moscow ke atas Ukraine yang dilancarkan pada Khamis lalu.
Menurutnya, perkara itu pernah dibincangkan bersama sekutunya, Presiden Vladimir Putin beberapa kali.
"Adalah mustahil untuk membuat kami mati kelaparan kerana siri sekatan tersebut," ujarnya dengan angkuh.
Jelasnya lagi, Moscow dan Minsk akan melancarkan langkah tindak balas yang akan dibuat secara 'berhati-hati'.
Lukashenko juga memberi amaran beliau akan meminta Putin 'mengembalikan semula' senjata nuklear kepada Belarus jika Barat menggerakkan senjata nuklear mereka ke negara sempadan Minsk.
Ia selepas situasi dilaporkan semakin meruncing susulan serangan besar-besaran yang dilancarkan ke atas Kiev kini memasuki hari keempat. - Agensi
*Berita asal di Sinar Harian