Jangan benarkan pandemik 'bunuh' media

Madiha Abdullah
Mei 3, 2021 09:35 MYT
COVID-19 telah mewujudkan "infodemik" yang mempercepat kemerosotan kewangan pelbagai organisasi media berkepentingan awam. - Gambar hiasan
NEW YORK: Setiausaha Agung Persatuan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi amaran pandemik COVID-19 yang melanda kini merupakan satu ancaman kepada kebebasan media.
Hal itu dinyatakan Guterres sewaktu mengadakan perbincangan dalam talian minggu lalu, menjelang Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang disambut hari ini.
Kata Guterres, COVID-19 telah mewujudkan "infodemik" yang mempercepatkan kemerosotan kewangan pelbagai organisasi media berkepentingan awam di seluruh dunia.
"Ramai yang takut wabak ini akan memusnahkan organisasi media. Kita tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku.
"Mengekalkan laporan berdasarkan fakta yang bebas adalah keperluan awam global yang penting, penting untuk membina masa depan yang lebih selamat, sihat dan lebih hijau.
"Tanpa desakan masyarakat antarabangsa, kita akan melihat kerosakan yang tidak dapat ditarik balik dan memberi ancaman terhadap Matlamat Pembangunan Lestari," tegasnya.
Tambahnya, maklumat salah dan ucapan kebencian semakin meningkat, sekali gus membahayakan kesihatan jutaan penduduk dunia, menjejaskan keyakinan terhadap vaksin dan sains, dan memecahbelahkan masyarakat dan negara.
Wartawan penyiasat dan eksekutif media dari Filipina, Maria Ressa bersetuju dengan pendapat itu malah melihat 'wabak' yang wujud kini bukan sahaja di dunia nyata, tetapi juga di alam maya.
"Kita asyik bercakap mengenai 'wabak' di dunia nyata, tetapi 'wabak' ini ada juga di dunia maya. Wabak pembohongan ini memberi kesan kepada kita. Dan apabila dijangkiti, mereka sudah tidak kisah tentang fakta.
"Sekiranya kita tidak mempunyai fakta, maka kita tidak mempunyai pandangan mengenai realiti. Jadi, fikirkan; pembohongan yang dilakukan berjuta kali menjadi kenyataan; tanpa fakta kita tidak mempunyai kebenaran; tanpa kebenaran, kita tidak mempunyai kepercayaan," katanya.
Ressa baru sahaja dinamakan penerima anugerah tokoh media tahun ini oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).
Anugerah itu mengiktiraf sumbangan luar biasanya dalam mempertahankan dan mempromosikan kebebasan akhbar, terutama ketika dalam situasi bahaya.
Hari Kebebasan Akhbar Sedunia tahun ini mengetengahkan tema Information as a Public Good atau Maklumat Sebagai Hak Awam, yang membawa kepentingan menghargai maklumat sebagai barang awam, dan meneroka apa yang dapat dilakukan dalam penghasilan, pengedaran dan penerimaan kandungan untuk memperkuatkan profesion kewartawanan, dan meningkatkan ketelusan dan pemberdayaan tanpa menyisihkan mana-mana pihak.
#kewartawan #pandemik #COVID-19 #Unesco #Media #Kebebasan Media #Antonio Guterres #Maria Ressa
;