Jangan bawa pemetik api, mancis ke Kota Larangan
Bernama
Ogos 17, 2013 12:11 MYT
Ogos 17, 2013 12:11 MYT
Muzium Istana di sini merampas lebih 8,000 pemetik api dan mancis daripada petugas serta pengunjung pada Khamis, iaitu hari pertama larangan membawanya ke kawasan berkenaan dikuat kuasa.
Mulai 18 Mei lepas, petugas dan pengunjung Muzium Istana yang juga dikenali sebagai Kota Larangan, langsung tidak dibenarkan merokok di seluruh kawasan itu.
Langkah itu bagi mengelak risiko kebakaran di muzium berkenaan, kata agensi berita Xinhua yang memetik kuratornya, Shan Jixiang sebagai berkata.
Shan berkata bagaimanapun, pengunjung dibenar mendapatkan kembali pemetik api dan mancis masing-masing di kawasan yang ditetapkan selepas melawat muzium itu.
Kota Larangan merupakan Istana Maharaja China bagi Dinasti Ming dan Qing yang terletak di tengah-tengah kota Beijing, telah diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco pada 1987.