Jammu, Kashmir tegang akibat keputusan kontroversi New Delhi
Astro Awani
Ogos 6, 2019 23:45 MYT
Ogos 6, 2019 23:45 MYT
KETEGANGAN di negeri paling Utara India, Jammu dan Kashmir kembali memuncak apabila kerajaan india bertindak menarik semua hak autonomi yang dijanjikan kepada negeri berkenaan sejak ia menyertai India pada 1947.
Bagi Bekas Ketua Menteri Negeri Jammu dan Kashmir, Mehbooba Mufti ini merupakan pengkhianatan besar New Delhi kepada negeri yang selama ini setia dengan kuasa pusat.
Jammu dan Kashmir adalah wilayah Himalaya yang dikuasai India, dimana sebelum ini ditadbir secara autonomi menerusi artikel 370 perlembagaan India.
Artikel 370 membenarkan Jammu dan Kashmir bebas mentadbir sendiri dalam semua hal, kecuali hal ehwal luar, pertahanan dan komunikasi.
Ia juga dibenarkan mengibarkan benderanya sendiri.
Serentak itu, warga Jammu dan Kashmir lantas bangkit membantah keputusan New Delhi yang dianggap mencurangi rakyat negeri itu, yang sebelum ini setia kepada India.
Menambah kepertitan, ada kalangan rakyat Jammu dan Kashmir kini menyatakan sesalah kerana bersetuju menyertai India dan bukan bersama Pakistan ketika negara bekas tanah jajahan Britain itu berpisah pada tahun 1947.
Ditanya kenapa kuasa pusat bertindak membelakangi rakyat Jammu dan Kashmir, alasan yang diberikan New Delhi ialah ia bagi menangani masalah kemiskinan dan penindasan ke atas golongan wanita.
Bagi rakyat kedua-dua negeri itu keputusan pemerintah pusat yang dikuasai parti konservatif hindu itu dibimbangi sengaja dilakukan untuk mengubah demografi negeri majoriti islam itu.
Apa yang jelas, Perdana Menteri Narendra Modi dan parti pimpinannya Bharatiya Janata Party memang sudah lama menentang artikel 370, malah ia menjadi salah satu janji dalam manifesto Pilihan Raya 2019.
Bagi mereka, Artikel 370 perlu dimansuhkan bagi memastikan Kashmir dapat berintegrasi dengan keseluruhan India.