Jambatan runtuh, kereta api bawa asfalt terhumban dalam sungai
Astro Awani
Jun 26, 2023 06:45 MYT
Jun 26, 2023 06:45 MYT
MONTANA: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) giat memeriksa mutu air di sepanjang Sungai Yellowstone selepas sebatang jambatan runtuh sehingga mengakibatkan kereta api yang melaluinya terhumban ke dalam sungai.
Ketika kejadian, tujuh gerabak kereta api terbabit kesemuanya membawa bahan campuran asfalt panas dengan belerang cair.
Kawasan itu tidak mempunyai ramai penduduk tetapi ia dikelilingi ladang ternakan.
Jurucakap Montana Rail Link, Andy Garland berkata, mutu air sungai mula diuji pada Sabtu lalu ketika pihak berkuasa berusaha mengalihkan gerabak kereta api yang terhumban keluar dari sungai tersebut.
Syarikat terbabit juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar tempatan dan Agensi Perlindungan Alam Sekitar Persekutuan bagi usaha pemindahan dan pembersihan.
Sehingga kini, pihak berkuasa masih gagal memastikan tahap pencemaran air sungai tersebut dan sama ada ia selamat digunakan oleh penduduk setempat atau sebaliknya.
Garland bagaimanapun menyatakan bahawa asfalt panas dan belerang cair cepat menjadi keras apabila bercampur dengan air.
Mereka juga menjangkakan bahan-bahan itu tidak akan bergerak jauh ke hilir sungai.
Pada tahun 2022, banjir berlaku di Sungai Yellowstone sehingga menyebabkan kerosakan besar di Taman Negara Yellowstone dan bandar-bandar berdekatan di Montana.