Jamah sos tomato setelah 24 hari hanyut di laut
Astro Awani
Januari 21, 2023 10:30 MYT
Januari 21, 2023 10:30 MYT
SEORANG lelaki terpaksa menjamah sos tomato selama 24 hari untuk elak kelaparan selepas hanyut di Laut Caribbean.
Elvis Francois, 47, dijumpai 120 batu nautika di barat laut Puerto Bolívar di Colombia selepas sebuah pesawat ternampak perkataan "tolong" tertulis pada badan kapal layarnya.
“Saya tiada makanan. Hanya ada sebotol sos tomato yang berada di atas bot, serbuk bawang putih, dan kiub stok Maggi.
"Jadi saya campurkannya dengan sedikit air,” kata Francois dalam video yang disediakan oleh tentera Colombia.
Francois yang berasal dari negara pulau Dominica berkata, dia sedang membuat pembaikan pada botnya di pulau Saint Martin Disember lalu apabila cuaca buruk menghanyutkannya ke laut.
Disebabkan tiada pengetahuan pelayaran dan tidak dapat menggerakkan bot kembali ke pantai, dia terpaksa menghabiskan tempoh beberapa minggu itu di laut lepas.
“Dua puluh empat hari – tiada tanah, tiada siapa untuk bercakap.
"Tidak tahu apa yang perlu dilakukan, tidak tahu di mana anda berada. Memang teruk.
“Pada masa tertentu, saya putus harapan. Saya fikir tentang keluarga saya,” kata Francois.
Selepas diselamatkan, Francois dipindahkan ke bandar pelabuhan Cartagena di mana dia menerima rawatan perubatan dan diserahkan kepada pihak imigresen sebelum dihantar pulang.