Jalin hubungan sulit, TPM Australia umum letak jawatan
Agensi
Februari 23, 2018 13:32 MYT
Februari 23, 2018 13:32 MYT
Timbalan Perdana Menteri Australia, Barnaby Joyce akur untuk meletakkan jawatan selepas didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan bekas setiausaha akhbarnya sehingga wanita itu mengandung.
Pengumuman peletakan jawatan itu telah dibuat di bandar Armidale yang diwakilinya pada Jumaat.
"Saya akan katakan di bilik parti pada pagi Isnin yang saya akan letak jawatan sebagai pemimpin National Party dan timbalan perdana menteri Australia," katanya kepada pihak media.
Beliau turut memuat naik perkara sama di laman media sosial Twitter.
Dalam postingnya, dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang memberi sokongan kepadanya, terutamanya rakyat New England.
Joyce turut menyatakan beliau akan tetap terus membela nasib rakyat walau dalam apa keadaan sekalipun.
“Saya akan terus memperjuangkan nasib rakyat sekalipun dalam keadaan susah dan senang. Saya akan menggunakan pengalaman sepanjang saya berkhidmat di bandar ini untuk mencapai matlamat saya bagi memastikan rakyat hidup dengan lebih baik,” luahnya.
Sebelum ini, Joyce telah bertegang urat dengan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull disebabkan skandal seks tersebut telah melanggar peraturan sebagai seorang menteri.
Menurut undang-undang di negara itu, seorang menteri tidak dibenarkan menjalinkan hubungan sulit dengan pegawainya.
#Barnaby Joyce
#Canberra
#hubungan sulit
#malcolm turnbull
#setiausaha akhbar
#Timbalan Perdana Menteri Australia
#TPM Australia
#wanita mengandung