Jalan Siam disekat, bebankan rakyat.. Raja Thai peka sengsara, rakyat selesa

Razak Chik
Januari 13, 2020 00:11 MYT
Seorang anggota polis trafik mengawal lalu lintas ketika kenderaan yang membawa Raja maha Vajiralongkorn melintasi kawasan GRand palace, Bangkok. - Reuters
LEDAKAN bantahan melalui media sosial sejak kebelakangan ini membuahkan hasil – Raja Thailand Maha Vajiralongkorn sendiri bertindak mengarah polis tidak lagi menyusahkan pengguna jalan raya Bangkok.
Dua kempen - #royalmotorcade dan #islandsclosure menarik pelbagai reaksi bantahan rakyat jelata apabila jalan raya ditutup beri laluan rombongan kerabat.
Bangkok menduduki tempat ke-11 disifat sebagai antara kota yang dibebani jalan raya paling sesak di dunia mengikut pengiktirafan INRIX Global Traffic Scorecard - sebuah firma penganalisa kesesakan global.
Kempen #royalmotorcade menarik perhatian Raja Vajiralongkorn setelah menjadi tular di laman Twitter baru-baru ini.
Kempen #islandsclosure pula digerakkan akibat penutupan jalan beri laluan kepada rombongan kerabat sempena lawatan puteri raja ke sebuah pulau di Selatan Thailand. Penuntupan jalan raya menimbulkan kerumitan kepada pengguna lain yang terpaksa memberi laluan kepada rombongan diraja.
Tindakan Raja Maha Vajiralongkorn diumum melalui laman Facebook jurucakap diraja Narumon Pinyosinwat.
Pengumuman itu lengkap dengan video menggariskan peraturan baharu setelah undang-undang lama yang tidak lagi terpakai.
Ini termasuk kebenaran pejalan kaki menggunakan jambatan yang merentang jalan. Sebelum ini jambatan seperti ini turut ditutup ketika rombongan kerabat diraja melaluinya di bawah sebagai tanda hormat.
Melalui video itu, Pinyosinwat mengumumkan tindakan diambil selari dengan sifat peka Raja Vajiralongkorn tidak mahu tindakan kerabat menyusahkan rakyat.
Thailand masih mempunyai undang-undang lese majeste di mana sebarang kata kata kesat mahupun tindakan dikira biadap terhadap raja, permaisuri dan pewaris takhta salah di sisi undang undang.
Kesalahan membawa hukuman 15 tahun penjara.
#Bangkok #bangkok sesak #kerabat diraja thailand #lese majeste #penutupan lalu lintas #Raja Maha Vajiralongkorn #rakyat Thailand
;