Jalan, pasar raya di Myanmar sesak selepas seruan supaya rakyat memberontak

Associated Press
September 7, 2021 23:54 MYT
Orang ramai dilihat berpusu-pusu membeli barangan di pasaraya susulan pengumuman dari kerajaan Perpaduan Kebangsaan (NUG)untuk melancarkan 'perang pertahanan rakyat'. - Gambar/ AP
YANGON: Kebimbangan rakyat di Myanmar meningkat setelah Kerajaan Perpaduan Kebangsaan (NUG) menyeru rakyat negara itu untuk bersama melancarkan 'perang pertahanan rakyat' atau 'people's defensive war' terhadap kerajaan junta.
Menurut laporan Associated Press (AP), tidak sampai 24 jam pengumuman, pasar raya dan jalanan di ibu kotanya mulai sesak dengan orang ramai bergegas untuk membeli barangan asas sebagai simpanan dan persediaan berdepan situasi itu.
Presiden kerajaan bayangan itu, Duwa Lashi La pada Selasa menggesa agar rakyat menggerakkan pemberontakan dari setiap sudut negara bagi membantah junta tentera.
Setiap kampung dan bandar di seluruh negara katanya harus memberontak secara serentak terhadap pemerintahan Tatmadaw dan mengisytiharkan 'darurat'.
Dia dalam masa sama meminta agar orang ramai membeli bekalan makanan, ubat-ubatan, selain menyarankan agar orang awam mengelak daripada melakukan perjalanan tidak perlu.
Krisis di Myanmar masih lagi tidak stabil sejak penahanan pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang juga kerajaan memerintah sebelum ini, Aung San Suu Kyi pada Februari lalu.
Lapor AP, pertempuran turut dilaporkan berlaku di luar bandar antara militia kumpulan etnik minoriti dan tentera.
#Myanmar #people's defensive war #perang rakyat #pembelian panik
;